SEOUL: Son Heung Min berjaya meledak gol tetapi Korea Selatan terpaksa akur apabila sekadar seri 1-1 menentang Thailand di laman sendiri dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bagi aksi pertama mereka sejak pemecatan Jurgen Klinsmann.
Ia juga perlawanan pertama sejak pendedahan mengenai pergaduhan antara kapten Heung Min dan pemain Paris Saint Germain, Lee Kang In di Piala Asia, di mana Korea Selatan tewas 0-2 kepada Jordan pada aksi separuh akhir.
Kang In bermula dari bangku simpanan tetapi masuk sejurus selepas Thailand meraih gol penyamaan mengejut di Seoul, dengan Suphanat Mueanta merembat masuk dari jarak dekat sebaik sejam perlawanan berlangsung.
Walaupun menemui jalan buntu, Korea Selatan masih berada di landasan untuk mara ke peringkat kelayakan seterusnya apabila masih menduduki tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan.
Dibimbing jurulatih bawah 23 tahun Hwang Sun Hong yang mengambil alih tugas sementara berikutan pemecatan Klinsmann, tuan rumah mendahului tiga minit sebelum separuh masa berakhir.
Penyerang Spurs itu menjaringkan gol, dari jarak dekat untuk meletakkan Korea Selatan dalam laluan kemenangan kelayakan ketiga.
Stadium Piala Dunia Seoul yang berkapasiti 66,000 tempat duduk kemudian senyap pada minit ke-61 apabila Suphanat melepaskan rembatan melepasi jangkauan penjaga gol, Jo Hyeon Woo.
Korea Selatan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol kemenangan, tetapi mereka gagal menembusi pertahanan Thailand.
sumber:-BH
Kedua-dua pasukan akan bertemu semula pada hari Selasa di Bangkok. – AFP