sukan

The City Boys menang bergaya

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City meneruskan momentum daripada Kejuaraan Kelab ASEAN selepas meraih kemenangan 4-2 ke atas Penang FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Selepas dikejutkan Perak FC 1-0 pada aksi terakhir Liga Super, anak buah Miroslav Kuljanac bangkit menewaskan Borneo FC Samarinda 1-0 sebelum menjadikan Penang FC mangsa seterusnya yang terus kempunan kemenangan dalam empat aksi terakhir.

Kemenangan itu membolehkan skuad Warga Kota melonjak ke tangga kelapan Liga Super dengan 11 mata sementara Penang FC di tangga ke-10 dengan juga dengan 11 mata namun dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Pada perlawanan itu, pelawat hanya memerlukan dua minit untuk mengejutkan tuan rumah selepas hantaran cantik Charles Wenzel Halls menemui Adib Raop di dalam kotak penalti dan pemain kebangsaan itu menewaskan Azri Ab Ghani untuk gol pertama mereka.

Bagaimanapun, KL City membalas lima minit berselang apabila Paulo Josue bijak mengawal hantaran Kenny Pallraj dan pemain naturalisasi negara itu menyudahkan bola ke dalam gawang terbuka sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.

Tuan rumah mendahului permainan pada minit ke-21 menerusi Jovan Motika yang menyambut hantaran Josue dan Motika tidak berdepan masalah menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dalam situasi satu lawan satu untuk menjadikan kedudukan 2-1.

KL City terus garang dengan menambah gol ketiga pada minit ke-53 menerusi Haqimi Azim Rosli, sekali lagi menerusi hantaran Josue membolehkan tuan rumah selesa berkelebihan dua jaringan.

Haqimi menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-74 untuk kedudukan 4-1 sebelum Penang FC mengurangkan defisit kepada dua gol hasil tandukan Rodrigo Dias pada minit ke-81.

sumber:-BH

Selepas ini, KL City akan menentang Kelantan Darul Naim FC di tempat lawan sementara Penang FC akan melayan kunjungan Sri Pahang FC.