Kuala Lumpur: Negeri Sembilan FC (NSFC) berdepan misi sukar apabila menanti kunjungan Selangor FC (SFC) dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.
Tumpuan pastinya terarah kepada pemain sayap lincah, Faisal Halim, yang kembali mempamerkan sentuhan berbisa bersama ‘The Red Giants’ dan skuad Harimau Malaya selepas melalui detik hitam tahun lalu.
Pemain berusia 28 tahun itu kini berada dalam prestasi terbaik apabila tampil cemerlang pada jendela antarabangsa baru-baru ini dengan dua jaringan menentang Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Faisal yang dimasukkan sebagai pemain gantian di Vientiane menjaringkan gol ketiga Malaysia, sebelum sepakan percumanya di Stadium Nasional Bukit Jalil mencetuskan kebangkitan untuk membelasah Laos 5-1.
Rentak itu pasti mahu dikekalkan pemain yang mesra disapa Mickey bagi membantu SFC membawa bekalan selesa ke aksi timbal balik nanti.
SFC dijangka tampil dengan keyakinan tinggi selepas beberapa kemenangan penting dalam saingan Liga Super sebelum ini.
Bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin, mengakui semangat kental Faisal wajar dijadikan inspirasi kepada pemain muda lain dalam menghadapi tekanan dan cabaran di atas padang.
“Bukan mudah untuk bangkit selepas apa yang berlaku kepadanya, tapi Faisal buktikan dengan semangat luar biasa dan kualiti permainan yang semakin matang,” katanya.
Dengan prestasi yang sedang memuncak, Mickey dijangka sekali lagi menjadi nadi utama ‘The Red Giants’ dalam misi memburu kemenangan di Paroi malam esok.