KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) enggan memberi laluan mudah kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika lawan itu memburu gelaran treble apabila kedua-dua pasukan bertemu di pentas final Piala TNB, esok.
Aksi final yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu menjadi peluang buat THT untuk menjulang sekurang-kurangya satu trofi musim ini selepas TNB sudah memenangi Piala Sumbangsih serta muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL).
Penyerang THT, Faizal Saari, berkata dia dan rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan untuk cuba mengatasi TNB yang dianggap sebagai pilihan sekali gus mempertahankan trofi Piala TNB yang dimenangi pada musim lalu.
“Untuk saingan MHL 2024 ini memang TNB adalah pasukan pilihan manakala THT adalah pasukan ‘underdog’.
“Atas kertas mereka memiliki pasukan yang sangat kuat apabila dibarisi ramai pemain kebangsaan termasuklah pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jong Hyun.
“Namun, ini adalah perlawanan final, sudah tentu kami akan berjuang habis-habisan dan menampilkan prestasi terbaik.
“Pada masa yang sama kami juga perlu berhati-hati, maksud saya di barisan pertahanan, walaupun kami menyerang, pertahanan tetap perlu dijaga,” katanya.
Terdahulu, THT yang dibimbing Mohd Harfizi Baharom mengesahkan tempat ke final menerusi agregat 6-1 selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Maybank pada aksi separuh akhir kedua, malam tadi.
sumber:-BH
TNB pula yang mendapat sentuhan bekas pemain kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin selaku jurulatih mara ke final dengan menewaskan UITM HA-KPT menerusi agregat 8-2 selepas melakar kemenangan 5-1 dalam aksi separuh akhir kedua.