Kuala Terengganu: Juara Piala Sumbangsih musim ini, Pasukan Hoki Terengganu (THT) ternyata sukar digugat selepas membelasah kelab China, Liaoning Men’s Hockey Team (LMHT) 8-3 di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), sebentar tadi.
Penyerang sensasi skuad The Turtles, Faizal Saari membuktikan sentuhannya begitu berbisa selepas mencipta hatrik.
Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Mohd Harfizi Baharom terus mengungguli carta Liga Hoki Malaysia (MHL) dengan mengutip 18 mata menerusi enam kemenangan berturut-turut manakala kelab dari China bimbingan Kim Sang Ryul itu kekal ditangga tercorot liga tanpa sebarang mata selepas empat perlawanan.
Pada perlawanan itu tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi tolakan pemain muda, Andywalfian Jeffreynus pada minit ke-11 untuk mendahului 1-0.
Tiga minit berselang, hasil gerakan satu dua menarik pemain adik-beradik Fitri dan Faizal, tuan rumah mendapat gol kedua menerusi jaringan menarik Fitri.
Pemain import kelahiran Korea Selatan, Lee Nam Yong turut mencipta nama sebagai penjaring selepas meledak gol ketiga pasukannya pada minit ke-30 untuk mengukuhkan kedudukan 3-0.
Seminit kemudian, pemain import kelahiran Afrika Selatan, Samkelo Mvimbi turut mencetak namanya sebagai penjaring selepas meledak gol keempat pasukannya menerusi pukulan sudut penalti yang sukar dibaca penjaga gol pelawat.
Selepas gol itu, Faizal hanya memerlukan masa kurang dua minit untuk mencetak namanya sebagai penjaring pada minit ke-41 dan 42 menerusi pukulan sudut penalti untuk pasukannya selesa mendahului 6-0.
Ketinggalan enam gol tidak mematahkan semangat pemain lawan apabila skuad itu berjaya meledak tiga gol berturut-turut menerusi pukulan sudut penalti Yang Peng pada minit (m) ke-42, gol padang Wang Tao (m-47) dan pukulan sudut penalti Zhang Zhongqiang (m-52) untuk merapatkan kedudukan 6-3.
sumber:-HM
Tiga jaringan pelawat itu bagaikan menambah lagi semangat pemain tuan rumah selepas menyumbat dua gol lagi menerusi ‘arkitek’ skuad kebangsaan, Fitri pada minit ke-53 sebelum Faizal menambah derita pelawat seminit kemudian selepas meledak gol kelapan untuk keputusan muktamad 8-3 memihak THT.