KUANTAN: Tiada istilah selesa buat Sri Pahang FC apabila melayan kunjungan Perak FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Ahad ini.
Pengendalinya, Fandi Ahmad berkata, kelebihan satu gol dimiliki pada suku akhir pertama bukan jaminan skuad Tok Gajah layak untuk mengisi slot separuh akhir piala berprestij itu.
“Saya ingatkan pemain supaya tidak berasa selesa dengan kelebihan satu gol kerana menjangkakan Perak mengamalkan corak permainan menyerang.
“Oleh itu semua pemain perlu kekal fokus sepanjang perlawanan untuk menyekat lawan daripada beroleh jaringan,” kata legenda bola sepak Singapura itu.
Pada perlawanan itu nanti, skuad Tok Gajah yang tidak dapat menyenaraikan penjaga gol utama, Zarif Irfan Hashimuddin akan menyandarkan harapan kepada Azfar Arif Mohd Sukri yang juga penjaga gol kedua.
Pada masa sama, jentera pertahanan Sri Pahang bakal diperkuatkan dengan kehadiran Stefano Brundo yang sudah pulih daripada kecederaan.
sumber:-BH
Selain itu Kpah Sherman yang menjaringkan gol pada suku akhir pertama akan kekal mengetuai jentera serangan Tok Gajah.