KUALA LUMPUR: Tiada istilah ‘kasta’ ataupun ‘kelas’ pemain dalam skuad Harimau Malaya kerana hanya pemain yang benar-benar terbaik akan dipilih untuk menggalas tanggungjawab bersama skuad kebangsaan.
Pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovksi menegaskan semua pemain tidak mengira anak tempatan, berdarah warisan ataupun naturalisasi tetap dianggap sebagai warga Malaysia sekali gus mereka layak diberi peluang jika berjaya menunjukkan prestasi terbaik.
“Ya, tidak kiralah pemain tempatan, pemain warisan ataupun naturalisasi yang bermain di sini ataupun di luar negara, kita sentiasa memilih pemain yang terbaik untuk membentuk pasukan yang sekuat mungkin.
“Kami selalu katakan kepada pemain muda supaya percaya kepada pemain Malaysia, tak kisahlah beraksi di Liga Super, Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) atau di luar negara, mentaliti ini ada dalam pasukan kita,” katanya.
Terdahulu, Cklamovski menurunkan tujuh anak tempatan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya bagi aksi persahabatan Tier 1 menentang Cape Verde di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.
Ahmad Syihan Hazmi diberi tanggungjawab sebagai benteng terakhir sementara Harith Haiqal Adam Afkar dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan memperkasa benteng pertahanan.
Jentera tengah diterajui Nazmi Faiz Mansor sementara jentera serangan dikemudi Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan juga Faisal Halim yang turut kembali dalam kesebelasan utama selepas sekadar menjadi pemain gantian ketika menentang Nepal, Mac lalu.
Pada pertembungan itu, skuad negara mengikat pasukan di ranking ke-72 dunia itu selepas jaringan pemain gantian, Paulo Josue pada minit ke-79 memadam gol awal Sidney Cabral pada minit kesembilan.
Dalam perkembangan sama, Cklamovksi menjelaskan persiapan skuad kebangsaan kali ini agak unik kerana ia membabitkan tiga fasa memandangkan saingan domestik baru sahaja berakhir.
“Kita bahagikan kepada tiga fasa supaya pemain dapat menyesuaikan diri dan mengurangkan risiko kecederaan selepas tamat musim liga.
sumber:- BH
“Dalam fasa pertama ini, kita memanggil enam pemain bawah 23 tahun. Salah seorang daripada mereka dipilih sebagai pemain terbaik malam ini (semalam). Ini bermakna kita berada di landasan betul,” katanya.