sukan

Tiada kelibat muka baru untuk aksi berdepan Nepal – Cklamovski

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski dijangka mengekalkan sebahagian besar pemain dalam skuad ketika menentang Laos, bulan lalu bagi menghadapi aksi kelima Kumpulan F kempen kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal, 18 November ini.

Senarai pemain bakal diumumkan dalam masa terdekat yang mana kem latihan pusat dijangka bermula minggu depan dengan kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan berlangsung dari 10 hingga 18 November ini.

Saingan Liga Malaysia (Liga M) juga akan berehat selepas aksi separuh akhir pertama Piala FA yang membabitkan pertembungan Kuching City menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah berdepan Selangor pada 9 November ini.

Justeru, dengan tempoh kira-kira seminggu lagi sebelum kalendar perlawanan antarabangsa bermula, Cklamovski pasti sudah memiliki nama pemain yang akan dipanggil bagi tugasan penting Harimau Malaya untuk bulan ini.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menganggap aksi berdepan Nepal sekali lagi bakal menyaksikan peluang terbaik buat pemain tempatan menunjukkan kemampuan mereka selepas kes rayuan membabitkan tujuh pemain warisan negara masih belum diumumkan FIFA.

Beliau bagaimanapun menjelaskan segala keputusan dalam pemilihan pemain terletak pada Cklamovski untuk menentukan pemain yang dipanggil sesuai dengan perancangan yang ingin dilakukan.

“Kalau pemain yang bagus dalam skuad ketika menentang Laos, memang patut dikekalkan. Namun, jika ada pemain lain yang sebelum ini tidak dipanggil tapi menampilkan aksi yang bagus dalam liga, mereka juga harus diberi peluang kerana semua pemain ingin bermain untuk skuad negara.

“Saya tengok pemain pertahanan Kuching City, Jimmy Raymond beraksi dengan bagus dan mungkin dia patut diberi peluang. Apa pun semuanya terpulang kepada pandangan jurulatih dan kita sebagai peminat nak tengok keputusan yang positif.

“Sekarang ini keputusan rayuan kepada FIFA mengenai tujuh pemain warisan pun tak dapat lagi. Jadi, ini peluang terbaik untuk pemain tempatan dan mereka harus gunakan sebaik mungkin, malah saya yakin mereka bersemangat nak wakili pasukan negara,” katanya kepada BH Sukan.

Harimau Malaya tetap meneruskan momentum positif walaupun kehilangan tujuh tonggak warisan apabila menewaskan Laos 3-0 dan 5-1 dalam dua aksi bulan lalu untuk terus berada di kedudukan teratas Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata, tiga mata di depan pencabar utama, Vietnam.

Perkembangan positif yang ditunjukkan pemain seperti Faisal Halim dilihat menjadi antara taruhan utama Harimau Malaya dengan dia meledak dua gol ketika menentang Laos selain meneruskan sentuhan jaringannya bersama Selangor dalam Liga M.

Selain itu, Azlan menyifatkan aksi berdepan Nepal sebagai perlawanan wajib menang apatah lagi pertembungan itu akan berlangsung di Malaysia walaupun Harimau Malaya turun sebagai pasukan pelawat.

Berdasarkan semakan di laman rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.