KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain mengakui pasukannya akan mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok tanpa sentuhan pemain warisan.
Katanya, skuad Harimau Muda itu akan beraksi tanpa kehadiran tonggak warisan sepanjang kempen itu yang akan bermula bulan depan.
Ujarnya, pasukan akan terus mempertaruhkan pemain tempatan bagi membawa cabaran negara dalam usaha melayakkan diri ke Piala Asia tahun depan.
“Setakat ini, tiada pemain warisan yang akan menyertai pasukan B-23. Semuanya pemain tempatan akan dipertaruhkan pada kempen kelayakan kali ini,” katanya.
Di Bangkok nanti, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan F bersama Mongolia, Lubnan dan tuan rumah Thailand.
“Kali ini, apa yang saya nampak keadaan pemain agak bersedia dari segi fizikal berbanding sebelum ini di Piala AFF apabila kita panggil ketika musim liga belum bermula,” katanya.
Skuad negara kini sudah berada di Bangkok bagi mengharungi kem latihan selama 13 hari sehingga 31 Ogos ini yang turut meliputi dua aksi persahabatan menentang Kuwait dan Oman.
Selepas itu, mereka akan membuka tirai menentang Lubnan pada 3 September, diikuti aksi bertemu Mongolia (6 September) sebelum menutup saingan menentang tuan rumah Thailand pada 9 September di Stadium True BG, Pathum Thani, Thailand.