KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lee Chong Wei menegaskan pihaknya tidak akan membawa pemain yang masih dibelenggu kecederaan ke Piala Thomas kerana kejohanan berprestij itu memerlukan barisan yang benar-benar berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata, kebimbangan utama ketika ini tertumpu kepada keadaan pemain profesional negara, Lee Zii Jia yang masih belum menyertai sesi latihan pasukan akibat masalah kecederaan buku lali.
Menurut Chong Wei, pihaknya masih belum mengetahui tahap sebenar kecederaan Zii Jia kerana pemain itu belum hadir menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dan pemantauan lanjut akan dilakukan oleh barisan jurulatih.
“Setakat ini hanya Zii Jia yang menjadi kebimbangan kerana dia belum datang latihan dan kita tidak tahu keadaan sebenar kecederaannya. Jurulatih Kenneth Jonassen akan memberi kemas kini kepada saya,” katanya.
Chong Wei menegaskan BAM tidak mahu mengambil risiko membawa pemain yang belum pulih sepenuhnya kerana Piala Thomas adalah kejohanan yang sangat penting buat negara.
“Kita tidak akan bawa pemain yang cedera ke Piala Thomas. Kita mahu semua pemain berada dalam keadaan 100 peratus sebelum beraksi,” katanya.
Beliau berkata Institut Sukan Negara (ISN) juga bersedia membantu memantau proses pemulihan Zii Jia bagi memastikan pemain itu dapat kembali beraksi secepat mungkin.
Menurutnya, Zii Jia dijangka hadir menjalani ujian gelanggang dalam masa terdekat, namun kehadiran pemain itu masih belum dapat dipastikan kerana bergantung sepenuhnya kepada tahap pemulihan buku lalinya.
“Kita tidak tahu tahap kecederaan dia setakat mana. Kalau buku lali masih tidak baik, mungkin dia tidak datang. Jurulatih Kenneth akan terus mengikuti perkembangan kecederaan itu,” katanya.
Chong Wei menjelaskan tarikh akhir pendaftaran pemain ke Piala Thomas adalah pada 11 April dan BAM akan membuat keputusan berdasarkan laporan perubatan serta keadaan semasa pemain