sukan

“Tiada ribut yang berpanjangan” – Holgado

KUALA LUMPUR: Dua pemain warisan negara, Rodrigo Holgado dan Gabriel Palmero jelas lega selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan seketika penggantungan 12 bulan yang dikenakan ke atas mereka oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), September lalu.

Reaksi itu dikongsikan mereka menerusi laman InstaStory selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan perkembangan mengenai isu terbabit, malam tadi.

Holgado berkongsi mesej dengan menulis “apabila tidak disangka, matahari muncul semula dan segala-galanya kembali baik.

“Tiada ribut yang berpanjangan,” kata penyerang berusia 30 tahun itu.

Bagaimanapun, tiada lagi pengesahan mengenai masa depan kedua-dua pemain itu di peringkat kelab selepas kontrak bersama pasukan masing-masing sudah ditamatkan.

Palmero kini berstatus ejen bebas selepas difahamkan kontraknya bersama kelab Sepanyol, CD Tenerife ditamatkan pada November lalu.

Holgado turut berada dalam situasi sama apabila kelab gergasi Colombia, America de Cali dipercayai menamatkan kontraknya pada hujung tahun lalu.

Terdahulu, tujuh pemain kebangsaan yang digantung 12 bulan oleh FIFA sebelum ini boleh kembali beraksi dan meneruskan karier bola sepak mereka.

Perkembangan itu dimaklumkan FAM yang mengesahkan CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan (stay of execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan itu.

Selain Palmero dan Holgado, empat lagi pemain adalah Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain Harimau Malaya itu ditangguhkan buat sementara waktu.

“Mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat,” kata FAM.