KUALA LUMPUR: Tidak mahu pasukan ‘mati’ menjadi antara faktor mengapa Liga Bolasepak Amatur (AFL) mempertimbangkan untuk menerima Kelantan FC beraksi dalam saingan liga separuh profesional, A1.
Tindakan membenarkan Kelantan beraksi dalam Liga A1 yang sebelum ini dikenali sebagai Liga M3 mendapat kritikan daripada sesetengah pihak kerana kelab itu didakwa masih belum menyelesaikan tunggakan gaji pemain.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya menerima The Red Warriors (TRW) kerana statusnya sebagai pasukan negeri selain mahu mengelak daripada pasukan terbabit terkubur.
Beliau berkata, sekiranya Kelantan terus diberikan peluang beraksi, terdapat ruang untuk kelab itu berusaha menyelesaikan tunggakan gaji pemain.
“Isu tunggakan gaji Kelantan sama macam kes Sarawak United tahun lalu. Kita memandang sebagai pasukan negeri yang mana kita patut bagi peluang mereka bermain.
“Pertama faktor pasukan negeri, apabila faktor negeri kita bagi sedikit budi bicara dan keduanya kita tak nak pasukan ini mati. Contoh seperti Melaka United, pasukan itu mati dan tiada orang nak jaga (selesaikan tunggakan gaji) pemain.
“Kalau kita masih lagi bagi peluang bermain, bermakna masih lagi ada pengurusan pasukan yang bertanggungjawab untuk bayar (tunggakan gaji). Maknanya ada ruang untuk mereka bina semula pasukan dan ada peluang mereka selesaikan tunggakan gaji.
“Soal tunggakan gaji itu, tindakan adalah di bawah bidang kuasa FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penjenamaan dan Pelancaran Logo Baharu Pertandingan AFL, di sini, hari ini.
Penjenamaan itu menyaksikan Liga M3 kini dikenali sebagai Liga A1 manakala Liga M4 dan M5 dikenali sebagai Liga A2 dan Liga A3 Komuniti.
Selain itu, Mohd Yusoff menjelaskan Kelantan diberikan tempoh sehingga 8 Mei depan untuk mengesahkan pendaftaran minimum 20 pemain bagi beraksi dalam Liga A1.
Beliau berkata, tempoh itu lebih awal berbanding pasukan lain kerana status Kelantan ketika ini yang dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Tarikh tutup bagi pasukan lain adalah 30 Mei, Kelantan kita bagi awal sebagai persediaan sekiranya mereka tak boleh nak cukupkan 20 pemain. Jadi kita boleh gugurkan (Kelantan dari liga) yang mana sama ada kita cari pasukan pengganti atau pun kita teruskan dengan 15 pasukan.
sumber:-BH
“Mengenai penyertaan Kelantan sudah lengkap, cuma dari segi pendafataran pemain sahaja. Kelantan dikenakan sekatan untuk daftar pemain baharu, tapi kita tak kata mereka tak boleh buat (selesaikan), mungkin mereka boleh selesiakan masalah itu,” katanya.