sukan

‘Tidak mustahil dengan Kemboja kita boleh kalah’

KUALA LUMPUR: Keputusan seri 2-2 ketika berdepan Kemboja menunjukkan bahawa skuad Harimau Malaya tidak mempunyai pemain sokongan dan pelapis yang setaraf dengan pemain utama.

Harimau Malaya hampir dimalukan pasukan ranking 180 dunia itu apabila terpaksa bangkit sebelum meraih satu mata dalam aksi sulung Kumpulan A saingan Piala ASEAN 2024 di Stadium Olimpik, Phnom Penh semalam.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menjelaskan sesuatu perlu dilakukan terutama dalam menyediakan pemain ‘back up’ yang bagus sekiranya terlepas khidmat pemain utama.

Jurulatih berusia 67 tahun itu berpendapat bahawa tidak mustahil sekiranya perubahan tidak dilakukan, skuad negara berkemungkinan boleh tewas kepada pasukan seperti Kemboja pada masa akan datang.

“Kalau ikut ranking, Malaysia dan Kemboja memang nampak jauh, tapi bola sepak moden sekarang ini sudah berubah. Kalau kita masih leka dengan apa yang kita ada, tidak mustahil dengan Kemboja selepas ini pun kita boleh kalah.

“Kita leka dengan kejayaan lalu yang diraih legenda kita seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Ann dan Datuk Santokh Singh, itu semua jadi sejarah yang akan dikenang sampai bila-bila.

“Kita tak boleh bandingkan zaman dulu dengan zaman sekarang. Masa, permainan dan taktikal semuanya sudah berubah. Kita kena buat sesuatu, jangan sampai esok (akan datang) kita kalah pula dengan Kemboja,” katanya kepada BH Sukan.

Selain itu, Wan Jamak menjelaskan pengurusan pasukan kebangsaan perlu memantau atau menilai kumpulan pemain yang lebih besar dan tidak hanya tertumpu kepada kumpulan kecil pemain tertentu untuk dipanggil mewakili Harimau Malaya.

Beliau berkata, ia bagi memastikan Harimau Malaya tidak berdepan masalah besar sekiranya berdepan situasi pemain utama tidak dapat menyertai tugasan bersama skuad kebangsaan.

Katanya, pembangunan pemain muda juga perlu diperkemaskan untuk memperkuatkan tapak pasukan kebangsaan dengan pemain berkenaan yang akan dijadikan sandaran selepas ketiadaan pemain senior.

“Apabila pemain A atau B yang kita biasa pilih tak dapat, kita terpaksa pilih pemain D, E, atau F. Namun, mereka ini kita tak pernah cuba sebab tak pernah dipanggil atau menjalani sesi latihan dalam skuad negara.

“Jika perkara seperti itu berlaku, kita tak boleh kata ia skuad A atau B. Jadi tiada alasan skuad A atau B pada saya. Ini maruah negara, apabila dipanggil mewakili negara, anda perlu bagi yang terbaik.

“Kita juga kena ramaikan pemain remaja di bawah, maksud saya pemain 20 tahun dan ke bawah. Kita perlu kukuhkan mereka ini dengan situasi menghadapi kejohanan sengit untuk dinilai mana yang boleh pergi ke peringkat lebih tinggi.

sumber:-BH

“Kalau kita tak buat perancangan ini, sampai masa, pusing kiri dan kanan masih pemain senior yang sama dalam skuad kebangsaan,” katanya.