PUTRAJAYA: Tidak mustahil Liga Malaysia (Liga M) boleh ‘bungkus’ dalam masa beberapa tahun akan datang sekiranya masalah tunggakan gaji terus membelenggu pasukan yang bertanding seperti mana yang sudahpun berulang bagi musim ini.
Itu kebimbangan diutarakan pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang menjangkakan situasi itu berkemungkinan boleh tercetus apatah lagi dengan suasana saingan domestik yang tidak lagi kompetitif dan tidak mampan.
“Saya risau dengan keadaan liga yang tidak mampan kerana kalau kita lihat, sekarang sudah tinggal 13 pasukan pun masih lagi berlaku isu tunggakan gaji walaupun musim baru bermula.
“Fenomena ini nampaknya tiada jalan penyelesaian dan apa yang menakutkan, mungkin hanya tinggal 10 pasukan bagi musim depan. Apa sudah jadi dengan bola sepak kita?
“Kita lihat hanya ada dua atau tiga pasukan yang dominan dan mungkin ada kekuatan untuk meneruskan survival dalam Liga Super.
“Jadi di mana kompetitifnya liga kita nanti? Bola sepak takkan maju kalau ada setakat dua atau tiga pasukan yang mampu bersaing dalam liga kita. Jadi kita kena fikirkan situasi ini.
“Saya boleh katakan yang Liga Super akan tumbang dalam masa beberapa tahun lagi kalau inilah senarionya dan kita tidak cepat membuat reformasi ataupun perubahan drastik contohnya terhadap peraturan, cara kita menguruskan liga dan kita perlu lebih telus.
“Jangan malu jika kita terpaksa berundur ke belakang kalau untuk kebaikan bola sepak kita,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen IPT ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Putrajaya, hari ini.
Sebagai rekod, isu tunggakan gaji terus menerus diperkatakan dengan beberapa pasukan didakwa berdepan situasi sama meskipun liga musim ini baru sahaja bermula.
Antara pasukan yang didakwa berdepan isu tunggakan gaji seperti yang hangat diperkatakan di laman media sosial adalah Sabah FC, Sri Pahang FC (SPFC) dan Perak FC.
Dalam perkembangan sama, Pekan juga menganggap saingan liga yang tidak kompetitif membuatkan Liga M menjadi hambar dan tidak berjaya membuatkan penyokong teruja untuk mengikuti perkembangan pasukan termasuklah hadir menyaksikan perlawanan di stadium.
“Bagaimana kita nak katakan liga kita benar-benar kompetitif kalau belum lagi turun bermain, kita sudah tahu pasukan mana yang akan menang. Kalau ia kompetitif, kita tidak dapat jangkakan pasukan mana yang akan menang.
sumber:-BH
“Disebabkan perkara ini, kita sudah dapat mengagak keputusan sesuatu perlawanan jadi siapa yang nak datang stadium lagi?,” katanya.