sukan

tidur sepuas-puasnya dan esok bangkit – klopp

LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berjanji pasukannya akan bangkit daripada kekalahan 3-0 di tangan Atalanta, apabila melayan kunjungan Crystal Palace di Anfield malam esok.

Gianlucca Scamacca meledak dua kali pada aksi suku akhir pertama Liga Europa sebelum Mario Pasalic melengkapkan kemenangan kelab Itali itu di Anfield, Khamis lalu.

Liverpool perlu memadamkan defisit tiga gol pada aksi timbal balik di Itali minggu depan untuk terus kekal dalam saingan Eropah, tetapi pertemuan Liga Perdana Inggeris dengan Palace juga tidak kurang pentingnya.

Kelab Merseyside itu hanya berbeza jaringan dengan pendahulu liga, Arsenal, dan satu mata di depan juara bertahan, Manchester City ketika musim hanya berbaki tujuh perlawanan.

“Saya beritahu pemain-pemain untuk melupakannya, tidur sepuas-puasnya dan esok bangkit semula.

“Pemain-pemain kembali cergas dan berlatih dengan baik. Sabtu kami akan mula bersedia untuk Palace. Kami perlu bangkit, 100 peratus, itu cukup jelas.

“Tetapi saya tidak boleh merancangnya 20 minit selepas perlawanan. Saya akan memikirkannya. Ini bukan kali pertama saya tewas dalam perlawanan bola sepak,” kata Klopp.

Klopp melakukan enam pertukaran ke atas skuadnya ketika tewas kepada Atalanta tetapi tiga pemain yang baru mengalami kecederaan – Trent Alexander-Arnold, Stefan Bajcetic dan Diogo Jota sekadar memanaskan bangku simpanan.

Pengendali dari Jerman itu berkata, pemain-pemain yang baru pulih daripada kecederaan perlu mendapatkan kecergasan penuh secepat mungkin.

“Tugas saya bukan yang paling mudah di dunia, juga bukan yang paling sukar.

“Anda hanya perlu memastikan pemain-pemain bersedia dan ia akan berjalan lancar.

sumber:-BH

“Kami memerlukan semua pemain dan mereka perlu sentiasa agresif, cergas, dahagakan kejayaan dan bersemangat,” katanya. – REUTERS