sukan

Tiga pemain kini bersedia ganti tempat Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR: Tiga pemain perseorangan lelaki negara, Eogene Ewe, Cheam June Wei dan Kong Wei Xiang bersedia menggalas tanggungjawab sekiranya dipilih menggantikan Lee Zii Jia bagi menghadapi Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Kedudukan Zii Jia dalam skuad negara ketika ini masih menjadi tanda tanya selepas pemain profesional itu dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bahagian buku lali, malah belum melaporkan diri menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Situasi itu membuka peluang kepada beberapa pemain lain untuk mengisi slot perseorangan keempat, dengan setakat ini hanya Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin hampir pasti berada dalam senarai.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei sebelum ini menegaskan hanya pemain yang benar-benar cergas sepenuhnya akan dipilih.

Mengulas peluang itu, Eogene yang kini berada di ranking ke-79 dunia mengakui sentiasa bersedia sekiranya diberi kepercayaan.

“Saya sentiasa bersedia. Latihan sekarang pun lebih menekankan aspek fizikal dan peningkatan prestasi, jadi kalau diberi peluang, saya akan berikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di ABM di sini, hari ini.

Jika terpilih, Eogene bakal membuat penampilan sulung di pentas Piala Thomas, sekali gus menganggapnya sebagai peluang besar untuk menimba pengalaman di peringkat tertinggi.

Eugone bagaimanapun tetap akan dibawa bersama pasukan ke Denmark sebagai rakan sepelatih.

Sementara itu, June Wei yang kini berpangkalan di Shenzhen, China bersama Kelab Badminton K1 turut menyuarakan harapan untuk kembali menyarung jersi negara.

“Sudah tentu saya harap dapat peluang. Saya rasa prestasi saya semakin konsisten sejak berlatih di sana,” katanya yang pernah beraksi dalam edisi 2021 dan 2024.

Dalam pada itu, pemain muda berusia 18 tahun, Wei Xiang turut tidak menolak kemungkinan untuk dipanggil, namun mengakui pengalaman memihak kepada pemain senior.

“Saya rasa ini bukan masa saya lagi, tapi kalau diberi peluang, saya pasti akan berjuang,” katanya.

Wei Xiang sebelum ini mencuri perhatian apabila memberi tentangan sengit kepada bekas pemain nombor dua dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia, Februari lalu.