KUALA LUMPUR: Tiga pemain utama – K Joshua, Teoh Min Yi dan Lee Han Ning – muncul juara berganda dalam kategori masing-masing pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Remaja Allianz di Dewan Persatuan Badminton Kedah, Alor Setar baru-baru ini.
Joshua dari Kolej Sultan Abdul Hamid yang cemerlang dalam acara perseorangan lelaki Bawah 15 Tahun (B-15) meneruskan momentum dalam acara beregu lelaki apabila muncul juara bersama gandingannya Chong Lee Qia dari SMJK Sin Mi.
Perkara sama turut berlaku dalam kategori wanita apabila Min Yi memenangi kedua-dua acara itu sementara Han Ning turut mengikut jejak Joshua dan Min Yi bagi kategori perempuan B-13.
Selain itu, kategori B-11 menyaksikan pasangan kembar bertembung di final sebelum E Xingnee dari SJKC Keat Hwa (H) menewaskan kembarnya dari sekolah sama, E Xingnian.
“Kami mempunyai hubungan yang sukar untuk digambarkan. Saya tahu apa yang dia fikirkan dan begitu juga sebaliknya kerana dia tahu apa yang ada dalam fikiran saya,” kata Xingnian.
Pasangan kembar berusia 11 tahun dari Alor Setar itu mendapat bimbingan jurulatih, Tan Seng Hoe yang juga ayah kepada pemain beregu wanita negara, Pearly Tan.
sumber:-BH
Tahun lalu, lebih 2,500 pemain menyertai kejohanan itu dan penyertaan dijangka meningkat kepada 3,000 tahun ini dalam 10 pusingan kelayakan.