sukan

Tiga ‘taring rahsia’ Harimau Malaya

Tiga muka baharu Harimau Malaya iaitu Manuel Hidalgo, Bergson da Silva dan Brad Tapp kini menjadi antara watak yang mencuri perhatian menjelang kempen Piala ASEAN FIFA 2026.

Kemampuan mereka bersama skuad negara masih menjadi tanda tanya buat pasukan lawan yang belum pernah berdepan ketiga-tiga pemain itu di pentas antarabangsa.

Pengalaman mereka beraksi dalam Liga Super bukan rahsia, namun kemampuan sebenar Hidalgo, Bergson dan Tapp apabila menyarung jersi Harimau Malaya masih belum diketahui sepenuhnya, sekali gus menjadikan ketiga-tiga pemain itu berpotensi muncul sebagai ‘taring rahsia’ skuad negara sepanjang kejohanan.

Lebih menarik, ketiga-tiganya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dalam pasukan apabila cepat membina keserasian bersama pemain lain yang sudah biasa mereka temui dalam saingan tempatan.

Situasi itu memberikan kelebihan kepada pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang kini mempunyai tiga pilihan baharu dengan karakter serta kemampuan berbeza untuk digunakan mengikut keperluan sepanjang kempen.

Cheng Hoe berkata, Hidalgo, Bergson dan Tapp tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan, sekali gus memudahkan perancangannya menghadapi jadual kejohanan.

“Mereka tiada masalah untuk menyesuaikan diri kerana sudah biasa bermain dalam Liga Super dan mengenali pemain lain dalam pasukan.

“Jadi dari segi keserasian, mereka boleh terus bersama pasukan dan memahami apa yang kita mahukan. Ini memberikan kita lebih banyak pilihan sepanjang kejohanan,” katanya.

Buat pasukan lawan, kehadiran tiga pemain terbabit turut membuka persoalan mengenai sejauh mana kemampuan mereka apabila diberikan tanggungjawab dalam skuad negara, terutama apabila ketiga-tiganya belum mempunyai rekod panjang bersama Harimau Malaya.

Justeru, Hidalgo, Bergson dan Tapp boleh menjadi antara elemen kejutan yang digunakan Cheng Hoe, dengan kelebihan pengalaman di Liga Super membantu mereka memahami corak permainan dan karakter pemain Harimau Malaya lain.