sukan

Tindakan Haaland dilabel ‘pengecut’

MANCHESTER: Bekas tonggak Arsenal, Ian Wright menyelar tindakan ‘pengecut’ penyerang Manchester City, Erling Haaland yang membaling bola ke arah bek tengah Gunners, Gabriel Magalhaes ketika kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, semalam.

Haaland dilihat membaling bola ke belakang kepala Magalhaes selepas pemain City, John Stones menjaringkan gol pada masa kecederaan bagi menjamin keputusan 2-2 ketika Arsenal beraksi dengan 10 orang pemain.

Keputusan itu menjamin kedudukan City untuk terus mendahului carta liga selepas bersaing sengit dengan seteru mereka, Arsenal.

Jurucakap FA berkata, insiden membabitkan Haaland dan Gabriel dikesan menerusi video bantuan pengadil (VAR) dan tiada tindakan selanjutnya yang difikirkan perlu pada masa itu.

Penyerang Arsenal, Leandro Trossard diarah keluar padang kerana meraih kad kuning kedua sebelum waktu rehat kerana menyepak bola keluar selepas didapati mengasari Bernardo Silva.

“Saya hanya terfikir untuk meluahkan sesuatu yang mengganggu fikiran saya. Jelas yang Trossard diarah keluar padang – sudah tentu pada masa itu, kamu kecewa,” kata Wright dalam satu hantaran di Instagram.

“Tetapi satu perkara yang menaikkan kemarahan saya adalah tindakan pengecut Haaland. Saya melihatnya awal pagi ini dengan teliti. Membaling bola ke arah kepada Gabi ketika dia tidak melihat.

“Sewaktu Gabi membelakanginya. Satu tindakan yang sangat pengecut. Gabi sudah tentu akan memandang matanya.

“Saya melihatnya sebagai pertahanan yang sangat bagus melawan penyerang di masa hadapan, mereka berdua. Saya suka melihat aksi mereka.

“Dan kemudian, kamu melakukan tindakan bodoh sebegitu. Saya fikir kamu lebih berjiwa besar daripada itu.”

sumber:-BH

Haaland, 24, yang membuka tirai jaringan ketika menentang Arsenal pada minit kesembilan, sudah meledak 10 gol dalam lima penampilan liga musim ini. – REUTERS