KUALA LUMPUR: Kelab Liga Super menganggap keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengurangkan kuota pemain import di atas padang sebagai satu peluang terbaik untuk pemain tempatan merebut tempat dalam kesebelasan utama sekaligus dapat menambah daya saing Liga Malaysia (Liga M).
MFL menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-14 memutuskan pindaan Manual Liga Malaysia 2025-2026 yang menyaksikan kuota pemain asing di atas padang dikurangkan kepada enam pemain berbanding tujuh pemain seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus percaya keputusan ini adalah satu langkah strategik yang memberi keseimbangan antara mengekalkan daya saing liga dan membuka ruang yang lebih luas untuk pembangunan pemain tempatan.
Namun, beliau tidak mahu pemain tempatan yang diberi peluang hanya menjadi pelengkap kuota sebaliknya perlu menunjukkan kualiti sebenar di atas padang bagi memastikan peluang yang diberikan dengan pengurangan satu slot pemain import ini berbaloi.
“Dengan enam pemain import dibenarkan di atas padang, cabaran utama ialah memastikan pemain tempatan tidak hanya menjadi pelengkap kuota. Mereka perlu bersaing secara merit dan berada dalam persekitaran teknikal yang mendidik dan mencabar.
“Jika tidak disertai dengan pelaburan serius dalam pembangunan pemain tempatan, maka pengurangan satu slot import tidak akan membawa impak besar.
” Di pihak NSFC, kami komited untuk beri kepercayaan kepada pemain tempatan yang menunjukkan mentaliti kompetitif. Kami tidak mahu mereka berada dalam kesebelasan utama hanya kerana ada ruang, tetapi kerana mereka layak. Keseimbangan sebenar bermula apabila pemain tempatan mampu mengambil tempat pemain import, bukan sekadar diberi tempat.
“Tapi apa pun, kami menyambut baik pindaan ini yang dapat memberi peluang kepada pemain-pemain tempatan untuk menimba lebih banyak minit permainan serta pengalaman beraksi di peringkat tertinggi.
“Bahkan, pihak MFL juga dilihat peka terhadap perkembangan liga serantau yang banyak melakukan perubahan dari segi kuota pemain import dan faham akan keputusan yang diambil ialah bagi memastikan Liga Super Malaysia lebih berdaya saing berbanding liga-liga lain di serantau Asia,” jelasnya.
Pendapat sama turut diluahkan oleh pengurus pasukan Terengganu FC, Shahrizan Mohd Zain yang melihat keputusan pindaan ini seiring dengan perancangan kelab untuk mengetengahkan pemain tempatan termasuk pemain muda.
Berdasarkan pindaan terbaharu itu, kuota pemain asing di atas padang adalah seramai 6+3 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+1 Asean berbanding sebelum ini 7+2 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+2 Asean.
“Sudah tentu apabila pemain import dikurangkan, bonus untuk pemain-pemain tempatan rebut peluang berada dalam kesebelasan utama. Perancangan kami sememangnya berjalan lancar untuk memastikan keseimbangan antara import dan tempatan selepas ini.
sumber:- HM
“Setakat ini, kami dah umumkan rmpat pemain import baharu iaitu Junior Ngong Sam (Cameroon), Yan Mabella (Perancis) dan Gabriel Costa (Brazil) dan Raianderson da Costa Morais (Brazil) termasuklah mengekalkan Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan), dan nanti akan ada lagi seorang, jadi jumlah setakat ini 6 sahaja import untuk kami”, kata Shahrizan.