KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan keputusan yang dibuat barisan pengadil ketika aksi Liga Super antara Sri Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin adalah tepat.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan, ia termasuk keputusan pengadil memberikan sepakan penalti pada masa kecederaan (minit 90+4) dan layangan tiga kad kuning dalam perlawanan itu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, keputusan itu dibuat berpandukan Undang-undang Permainan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Protokol Video Bantuan Pengadil (VAR).
Katanya, FAM sentiasa mengutamakan persembahan prestasi pengadil yang cemerlang dan tidak berkompromi dalam kualiti mutu pengadilan.
“Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa Pengadil dan Pengadil VAR mempamerkan satu prestasi yang amat baik dalam perlawanan itu.
“Keputusan untuk pemberian sepakan penalti pada minit ke-94 dan layangan tiga kad kuning dalam perlawanan tersebut adalah tepat dan dibuat berpandukan Undang-undang Permainan FIFA dan Protokol VAR.
“Unit Pengadil FAM juga sudah membuat analisa menyeluruh berkaitan dengan perlawanan itu dan mendapati Pengadil dan Pengadil VAR menunjukkan satu prestasi yang cemerlang,” kata Sivasundaram.
Terdahulu, pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad dilaporkan mengecam mutu pengadilan Ahmad Zuhaidi Dzulkifli yang disifatkan berat sebelah selepas pasukannya tewas 3-1 kepada JDT.
Fandi didakwa kesal dengan cara pengadil mengendalikan perlawanan itu yang tidak berlaku adil terhadap pemainnya selepas dilayangkan tiga kad kuning manakala tiada pemain JDT dikenakan tindakan sama ketika penyerang importnya, Kpah Sherman beberapa kali dikasari.
sumber:-BH
Katanya, pengadil juga membuat keputusan yang lambat untuk merujuk VAR selepas permainan dibenarkan bersambung dan menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan.