KUALA LUMPUR : Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail mahu penyokong setia skuad Harimau Selatan agar bertenang dan tidak cepat ‘melompat’ apabila prestasi pasukan tidak menentu.
Jelas Tunku Ismail di laman sosial, semua pihak perlu bersyukur terutamanya penyokong di mana kejayaan demi kejayaan dicapai JDT sejak sedekad lalu cukup gemilang.
Menurutnya, pelbagai pencapaian diraih membuktikan pasukan itu sentiasa mahu memberikan yang terbaik dan ia dapat dilihat berdasarkan fakta dilakar sebelum ini.
“Dalam bola sepak apa sahaja boleh terjadi. Tetapi jikalau anda masih ‘menang’, ketika segalanya berlaku, kita harus bersyukur.
“Sentiasa lihat gambaran dengan lebih besar. Statistik dan fakta tidak menipu. Akan ada masanya nanti kita tidak akan memenangi apa-apa.
“Itulah kehidupan terutama dalam sukan. Sehingga waktu itu tiba, tiada gunanya kita jadi ‘gila’,” katanya di ruangan komen Instagram.
Terdahulu, ramai peminat khususnya penyokong setia JDT melahirkan kebimbangan mengenai prestasi pasukan musim ini.
Ia susulan beberapa keputusan perlawanan yang menyaksikan juara 11 kali Liga Super itu sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuching City FC di tempat lawan malam tadi.
Malah, gergasi bola sepak negara itu dipaksa bangkit daripada ketinggalan ketika menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim di mana JDT bolos sebanyak tiga gol untuk menamatkan aksi dengan kemenangan 5-3.