PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menarik perhatian peminat bola sepak tanah air selepas berkongsi tangkap layar sebuah laporan portal sukan yang mendakwa terdapat entiti luar cuba mensabotaj projek Harimau Malaya.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Tunku Ismail yang juga penggerak revolusi Harimau Malaya memuat naik tangkap layar laporan sebuah portal sukan yang menulis tentang kewujudan pihak luar termasuk entiti dari luar negara yang dikatakan mahu menggagalkan usaha memperkukuh skuad kebangsaan.
Walaupun tidak menjelaskan secara terperinci siapakah yang dimaksudkan, perkongsian baginda itu seakan mengesahkan kewujudan gerakan tertentu yang berusaha menjatuhkan reputasi Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Portal berkenaan sebelum ini melaporkan wujud khabar angin dakwaan ada pihak luar negara yang kurang senang melihat kebangkitan skuad negara dan mereka juga individu yang rapat dengan pucuk kepimpinan tertinggi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Skuad negara ketika ini sedang melalui fasa revolusi dengan pelantikan ramai pakar dari luar negara dan kehadiran pemain warisan yang sekali gus mengukuhkan Harimau Malaya.
Revolusi itu yang mula digerakkan awal tahun ini menunjukkan impak dengan permulaan positif di pentas Kelayakan Piala Asia menerajui Kumpulan F dengan dua kemenangan termasuk menghapuskan badi tanpa kemenangan selama 11 tahun ke atas Vietnam.
Malah, rentak cemerlang itu juga dipamerkan dalam perlawanan persahabatan apabila skuad negara berjaya menewaskan pasukan di ranking yang jauh lebih baik iaitu Palestin baru-baru ini.