TMJ sahkan Arif Aiman rehat tiga bulan, terlepas aksi Final

KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengesahkan bahawa bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi akan berehat selama tiga bulan susulan daripada kecederaan hamtring.

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT menegaskan kelab itu akan menyediakan bantuan dan sokongan terbaik buat Arif Aiman untuk pulih daripada kecederaan termasuk sudah menjalani pembedahan bersama doktor sukan terkemuka, Lempainen Lasse.

Malah, Tunku Mahkota Ismail mengakui ketiadaan pemain sayap berusia 23 tahun itu memberi kesan terutama terhadap jentera serangan Harimau Selatan.

“Dia (Arif Aiman) cedera tiga bulan, sangat lama. Kita boleh tengok bagaimana pasukan sekarang bila dia tiada. Kita tak sebahaya apabila dia tiada.

“Masa dia ada, dia memberi rasa gerun kepada pasukan lawan dan dia juga memberi pasukan kita lebih bahaya. Harap dia tiada apa-apa, saya rasa dia akan kembali dengan lebih kuat.

“Dia menjalani pembedahan dengan doktor yang merawat Ousmane Dembele. Kita bagi dia apa-apa yang terbaik yang dia perlukan untuk dia kembali kepada prestasinya,” kata Tunku Mahkota Ismail pada sesi wawancara bersama penyokong JDT, hari ini.

Arif Aiman mengalami kecederaan ketika aksi menentang Nepal dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 18 November lalu.

Dia hanya sempat beraksi kira-kira lapan minit dalam aksi kelima Kumpulan F itu apabila terpaksa dikeluarkan dan tempatnya digantikan dengan penjaring gol tunggal perlawanan, Faisal Halim.