KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, menggesa barisan pemain beregu lelaki negara agar memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan pengalaman luas yang dibawa ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi, bagi mengekalkan momentum cemerlang ketika ini.
Menurutnya, kehadiran Herry sejak Februari lalu sudah memberi impak segera terhadap prestasi pemain negara dengan perubahan ketara dari segi corak permainan dan kemampuan taktikal yang dipamerkan.
“Cara mereka bermain sekarang memang berbeza. Dari gaya pukulan, pendekatan taktikal, hingga kepada keputusan-keputusan penting di gelanggang, semua nampak lebih kemas.
“Herry tahu dengan jelas apa yang perlu dibuat di atas gelanggang dan itu sangat membantu pemain,” katanya kepada BH Sukan.
Dalam tempoh dua bulan bersama skuad kebangsaan, Herry berjaya membimbing pemain negara meraih empat kejuaraan, sekali gus menyuntik semangat baharu dalam kem beregu lelaki negara.
Kejayaan pertama dicapai apabila gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, April lalu.
Pasangan nombor dua dunia itu terus melakar kejayaan apabila menjuarai Terbuka Thailand pada 18 Mei lalu sebelum ditundukkan rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun di final Masters Malaysia seminggu kemudian.
Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik kembali bangkit apabila mengungguli Terbuka Singapura, seminggu selepas itu.
James menyifatkan kekuatan utama Herry ialah ketajaman analisisnya yang memberi kelebihan kepada pemain menyesuaikan strategi permainan mengikut keperluan perlawanan.
“Kalau tengok cara dia beri nasihat kepada pemain masa ‘break’, memang nampak jelas dia tahu apa yang perlu dilakukan. Itu yang membezakan dia dengan jurulatih lain,” katanya.
Sebagai rekod, Herry yang digelar jurulatih Naga Api antara jurulatih disegani dalam dunia badminton apabila menghabiskan 31 tahun sebagai jurulatih skuad kebangsaan Indonesia serta melahirkan barisan juara dunia dan Olimpik.
Antara nama besar yang pernah dibentuk Herry ialah pasangan Tony Gunawan-Candra Wijaya dan Hendra Setiawan-Markis Kido yang pernah meraih pingat emas Olimpik.
Dia turut membentuk pasangan legenda Hendra-Mohammad Ahsan, serta pasangan dominan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang pernah menghuni ranking nombor satu dunia dan menjuarai Seluruh England.
sumber:- BH
“Kita memang bertuah dapat jurulatih seperti Herry. Sekarang ini, pemain kita hanya perlu ikut arahan dan belajar sebaik mungkin daripada beliau. Jangan sia-siakan peluang ini,” kata James.