Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau ugutan daripada pemain, sebaliknya segala isu perlu diselesaikan menerusi perbincangan secara profesional.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, pemain tidak boleh melupakan sumbangan badan induk itu yang membentuk mereka sejak di peringkat awal, termasuk menyediakan latihan, kemudahan dan persekitaran pembangunan sebelum muncul sebagai nama besar dalam arena badminton dunia.
Beliau berkata, kejayaan meraih gelaran besar seperti kejuaraan dunia bukan tiket untuk mana-mana pemain memberi tekanan kepada persatuan yang selama ini memainkan peranan penting dalam perjalanan karier mereka.
“Pemain datang dari mana? Masa kecil-kecil mereka berlatih di mana? Mereka berlatih di ABM (Akademi Badminton Malaysia). Daripada mereka tiada apa-apa dan sekarang mereka ada sesuatu, siapa yang bantu mereka? BAM.
“Kalau setakat anda menang gelaran juara dunia, kemudian gunakan itu untuk memberi tekanan kepada persatuan, saya rasa persatuan tidak takut. Sekarang pengurusan baharu BAM memang tidak takut, saya boleh beritahu terus,” katanya ketika dihubungi.
Chong Wei berkata demikian bagi mengulas laporan berhubung pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik yang memberi bayangan dia akan mempertimbangkan semua pilihan termasuk kemungkinan bergerak secara profesional, demi memastikan gandingannya bersama Aaron Chia kekal dan merealisasikan impian memburu pingat emas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Masa depan Aaron-Wooi Yik menjadi tanda tanya selepas rombakan barisan kejurulatihan beregu lelaki negara diketuai Herry Iman Pierngadi sejak bulan lalu menyaksikan beberapa gandingan diuji dengan pasangan berbeza.
Bagaimanapun, pasangan nombor empat dunia itu membuktikan mereka masih mempunyai kemampuan sebagai satu pasangan apabila muncul naib juara Kejohanan Dunia di New Delhi, India, Ahad lalu.
Mereka tewas kepada gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi final, namun pencapaian itu mengukuhkan hujah bahawa kombinasi kedua-dua pemain negara itu masih mampu bersaing di pentas tertinggi.
Bagaimanapun, tindakan meninggalkan BAM bukan sesuatu yang mudah buat Aaron-Wooi Yik kerana kedua-dua pemain masih terikat dengan kontrak bersama badan induk itu sehingga 2028.
Sebarang keputusan untuk keluar boleh menyebabkan mereka berdepan tuntutan pampasan yang besar selain kemungkinan dikenakan sekatan daripada menyertai kejohanan antarabangsa.
Chong Wei berkata, pemain perlu menggunakan saluran yang betul sekiranya berdepan sebarang masalah dan bukannya menjadikan hasrat meninggalkan BAM sebagai bentuk tekanan terhadap persatuan.
“Jangan cakap mahu keluar BAM atau apa-apa untuk memberi tekanan kepada persatuan. BAM sekarang dengan pengurusan baharu memang tidak takut.
“Kita boleh bincang semua perkara. Anda mahu apa-apa, duduk berbincang apa yang kita boleh bantu, kita kena bantu. Kita akan beri perkhidmatan terbaik,” katanya.
Beliau berkata, BAM sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan pemain bagi mencari penyelesaian terbaik, namun hubungan antara pemain dan persatuan perlu berlandaskan sikap saling menghormati.
“Kalau pemain sudah buat keputusan apa, dia boleh bincang dengan jurulatih dulu, boleh bincang dengan Rexy Mainaky (pengarah kejurulatihan beregu). Kalau tidak suka sesuatu perkara, bincang.
“Tetapi jangan gunakan perkara itu untuk memberi tekanan kepada persatuan. Tidak boleh,” katanya.