sukan

TRW mungkin kembali ‘bernyawa’ semula

KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak tanah air berkemungkinan akan dapat melihat kemunculan semula bekas gergasi bola sepak Malaysia, Kelantan FC.

Ia susulan Gerakan Selamatkan Kelantan FC (GSK) ketika ini dalam peringkat akhir perbincangan dengan Presiden TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman untuk mengambil alih kelab itu.

Malah, Pengerusi GSK, Nik Hafiz Naim Nik Hassan memaklumkan pertemuan terbaharu pihaknya dengan Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham pada Isnin lalu menampakkan petanda positif.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, GSK dan Zamsaham akan mengadakan pertemuan lagi dalam masa terdekat untuk mencari titik persamaan kedua-dua pihak dan memuktamadkan usaha mengambil alih TRW.

“GSK dengan Zamsaham di peringkat akhir (perbincangan), mungkin dalam masa terdekat kami boleh muktamadkan dan kami akan jumpa dia lagi. Insya-Allah kami boleh muktamadkan.

“Pertemuan terbaru pada Isnin lalu positif dan kami pun nampak dia memang berhasrat nak lepaskan (Kelantan FC). Kami tengah cari titik persamaan dengan dia.

“Kalau boleh kami memang nak (beli saham) dengan harga RM1, tapi kami nak tengok juga mana yang sesuai. Kalau tiada titik persamaan itu, agak susah untuk nak lepas (selesai) benda ini.

“Kami sedang sesuaikan apa yang dia nak dengan apa yang GSK pertahankan untuk dapat situasi menang-menang. Insya-Allah, mungkin minggu depan kami akan jumpa dia lagi,” katanya kepada BH Sukan.

GSK sebelum ini menolak tawaran yang diberikan Zamsaham sama ada mahu mengambil alih kelab itu dengan nilai RM3 juta atau RM1 tetapi bersyarat.

Selain itu, Nik Hafiz mengesahkan pihaknya juga mengadakan pertemuan dengan ‘orang lama’ dalam bola sepak Kelantan termasuk bekas kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi atau Piya.

Beliau berkata, GSK juga mengatur pertemuan dengan bekas pengurusan pasukan TRW termasuk bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam usaha mendapatkan pandangan serta nasihat untuk menubuhkan kembali skuad itu.

sumber:-BH

“Kami berjumpa dengan orang-orang TRW yang lama. Mungkin lepas ini akan jumpa dengan orang lain pula sebab nak dapatkan pandangan atau nasihat mengenai apa yang patut kami buat dan sebagainya,” katanya.