KUALA LUMPUR: Pengalaman luas yang dimiliki oleh beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam pertandingan tertinggi ternyata memberi kelebihan buat mereka berbanding pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun di Kejohanan Dunia, di Paris yang akan membuka tirai pada Isnin ini.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, beliau mengakui sememangnya bukan mudah untuk anak buahnya menewaskan wakil Korea itu sekiranya bertemu di suku akhir, selain rekod pertemuan juga lebih memihak kepada mereka apabila menang dalam kedua-dua pertemuan sebelum ini.
Namun, jurulatih kelahiran Indonesia itu tetap yakin bahawa Won Ho-Seung Jae tidak kebal dan ada kelemahan yang boleh menjadi peluang untuk Wei Chong-Kai Wun menewaskan mereka.
“Mereka kalah di Terbuka Jepun sebelum ini dalam aksi tiga set dan kita sudah analisis corak permainan itu. Selepas tengok video, kita sudah tahu bagaimana untuk bermain dan itulah salah satu kegunaan analisis video untuk mencari kelemahan selain kesilapan yang perlu kita elakkan.
“Sudah tentu ada perbezaan antara mereka, tetapi beregu Korea ini, terutamanya Seung Jae, sangat berpengalaman dalam beregu lelaki. Dia juga pernah menjadi juara dunia sebelum ini,” katanya.
Pasangan Korea itu baru digandingkan pada awal tahun ini, namun prestasi mereka sangat luar biasa apabila daripada 12 kejohanan yang disertai, mereka mara ke pentas akhir sebanyak tujuh kali dan lima daripadanya muncul juara.
Sebagai rekod, dua beregu negara berjaya mengecewakan Won Ho-Seung Jae di pentas final iaitu di Terbuka India apabila tewas kepada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan di Terbuka Singapura pula dikecewakan oleh beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Selain itu, ketika ditanya apakah beliau berhasrat ingin melihat pentas final menjadi milik Malaysia, Herry memaklumkan sememangnya mempunyai harapan seperti itu tetapi tidak mahu melihat terlalu jauh, sebaliknya perlu fokus kepada setiap perlawanan terlebih dahulu.
“Kalau ditanya mengenai harapan, sudah tentu saya mahu melihat beregu Malaysia bertemu sesama sendiri di perlawanan akhir. Bagaimanapun, kita tunggu dan lihat dahulu kerana perlu fokus langkah demi langkah,” katanya.
Wei Chong-Kai Wun pernah membuat penampilan pertama di Copenhagen, Denmark pada 2023 lalu namun terkandas di pusingan ketiga selepas tunduk kepada Wei Keng-Chang dalam pertarungan tiga set 16-21, 21-14, 17-21.