sukan

Tugas terlalu sukar menentang JDT

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Shanghai Shenhua FC, Leonid Slutsky tidak menolak kemungkinan barisan pemainnya akan berdepan tugas rumit apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.

Menurut jurulatih kelahiran Russia itu, pasukannya sudah membuat persiapan rapi menjelang pertemuan itu selepas merehatkan beberapa pemain utama dan hanya menurunkan skuad kedua pada aksi liga menentang Qingdao Hainiu FC, Sabtu lalu.

Katanya, walaupun pasukannya menempuh jadual perlawanan yang padat, mereka tetap bersedia untuk memberikan aksi terbaik dan dalam masa sama mengintai peluang untuk memburu kemenangan.

“Kami tahu JDT pasukan yang hebat, mereka tidak ubah seperti Shanghai Port dalam saingan Liga Super China, gemar mendominasi permainan dan melakukan serangan dari pelbagai sudut.

“Pemain yang mencuri tumpuan ketika dua-dua bertembung pada aksi pembukaan ACLE semestinya pemain bernombor 42 (Arif Aiman Hanapi) yang meledak dua gol. Kami juga perlu berhati-hati dengan kelibat pemain nombor 30 (Natxo Insa) walaupun sudah berusia 37 tahun tapi mampu bertindak selaku jeneral di bahagian tengah.

“Bagaimanapun, saya melihat peluang masih terbuka buat kami dan juga JDT kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, sudah pasti kami mahukan sesuatu dari kejohanan ini,” katanya.

Kali terakhir Shanghai Shenhua mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi Asia itu pada 2018 namun terkandas di peringkat kumpulan.

sumber:-BH

Slutsky yang pernah membimbing kelab Liga Bola sepak Inggeris, Hull City FC berkata, kemenangan 4-1 ke atas kelab Korea Selatan, Pohang Steelers meningkatkan lagi keyakinan buat barisan pemainnya untuk berdepan barisan pemain Hector Bidoglio.