Kuala Lumpur: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akui dan mengesahkan Badan Kehakiman FIFA berjaya menemui bukti termasuk memperoleh salinan asal sijil lahir sebenar dari negara asal tujuh pemain termasuk datuk dan nenek.
Menerusi dokumen penghakiman penuh setebal 19 muka surat, Notification of the grounds of the Decision-FDD-24394 yang ditandatangani oleh Pengarah Badan Kehakiman FIFA, Luis Villas Pires, kes berkenaan jelas melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC 2025).
Menerusi artikel terbabit, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kelahiran luar negara didakwa menggunakan dokumen palsu (sijil lahir datuk/nenek) untuk membuktikan asal-usul Malaysia.
Dalam dokumen penuh itu, FIFA menegaskan ketujuh-tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Imanol Machuca, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal tidak memiliki pertalian darah dengan Malaysia.
FIFA memberi perincian bahawa nenek kepada Gabriel Palmero dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol, manakala datuk kepada Facundo Garces berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina.
Ia kemudian menuyaksikan datuk kepada Rodrigo Holgado dilahirkan di Buenos Aires, nenek Imanol Machuca pula di Roldan, manakala datuk kepada Joao Figueiredo berasal dari Abre Campo, Brazil.
Sementara itu, datuk kepada Jon Irazabal dikesan berasal dari wilayah Viscaya, Sepanyol, dan datuk Hector Hevel Serrano pula dilahirkan di The Hague, Belanda.
Dalam penghakiman penuh itu juga, FIFA menjelaskan kronologi bagaimana badan induk dunia itu memberi kebenaran awal untuk tujuh pemain berkenaan bermain untuk Malaysia.
FAM dilaporkan menghantar beberapa “inquiry on eligibility” kepada FIFA bagi tujuh pemain untuk disahkan layak mewakili Malaysia dari Mac hingga Jun 2025.
FIFA kemudian menghantar surat balasan antara 24 Mac hingga 9 Jun 2025 menyatakan dokumen kelihatan lengkap dan pemain dilihat layak. Begitupun, pada 11 Jun 2025, FIFA menerima aduan rasmi daripada pihak lain bahawa tujuh pemain berkenaan agak mencurigakan dan mohon disiasat.
Dalam dokumen itu juga, FIFA menjelaskan proses undang-undang yang boleh dilakukan FAM termasuk diberi tempoh sehingga hujung minggu ini untuk membuat rayuan.