sukan

Tunku Mahkota Ismail lakukan demi negara, Harimau Malaya – Jamal

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan sememangnya memerlukan ‘harimau import’ iaitu pemain warisan dan naturalisasi dalam usaha untuk meraih keputusan positif dalam tempoh singkat di pentas antarabangsa.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan Malaysia mungkin ketinggalan jika tidak mengambil langkah itu berikut beberapa negara lain termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah menggunakan kaedah sama dalam memperkuatkan pasukan negara mereka.

Jamal menjelaskan, semua pihak perlu realistik dan sedar bahawa tidak ramai pemain tempatan yang ada ketika ini mempunyai kualiti mencukupi untuk membawa Harimau Malaya bersaing dengan pasukan hebat di peringkat antarabangsa.

Beliau bagaimanapun berkata, pemain tempatan juga tidak boleh terlalu merendah diri dengan kehadiran pemain warisan atau naturalisasi, sebaliknya mereka harus berusaha keras untuk bersaing merebut tempat dalam skuad kebangsaan.

“Sekarang kita terpaksa gunakan pemain warisan dan naturalisasi untuk memantapkan pasukan kerana banyak negara lain juga menggunakan cara yang sama dan kalau kita tak buat, kita akan ketinggalan.

“Kita kena faham konsep bola sepak sekarang dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mahu lakukan perkara ini bukan mudah sebab nak cari pemain warisan bukan senang dan ia juga membabitkan kos.

“Apa yang cuba dilakukan Tunku Mahkota Ismail itu demi negara dan skuad kebangsaan. Negara lain terutama Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah melakukan proses memperkuatkan pasukan mereka dengan mengambil pemain naturalisasi dan warisan.

“Sebab itu kalau kita tak buat kita akan ketinggalan dan kita kena realistik bahawa kebanyakan pemain tempatan kita masih belum mampu untuk menggalas satu tugas yang besar di peringkat antarabangsa,” katanya kepada BH Sukan.

Tunku Mahkota Ismail sebelum ini mengesahkan enam hingga tujuh pemain warisan yang beraksi di sekitar Eropah sudah dikenal pasti untuk memperkuatkan Harimau Malaya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan pihaknya belum menerima dokumen berkenaan pemain warisan daripada FAM dan bersedia melihat sokongan yang boleh diberikan.

Selain itu, Jamal menegaskan bahawa pembangunan akar umbi perlu dipertingkatkan bagi memastikan pemain tempatan dapat mengisi tempat dalam skuad utama Harimau Malaya dalam tempoh jangka panjang.

“Kalau tiada pembangunan akar umbi kita tidak akan ada pemain tempatan untuk bermain dalam pasukan senior. Pemain warisan ini bagus untuk jangka pendek, tapi kita perlukan pemain tempatan untuk jangka panjang.

“Jadi kita juga mesti merangka kekuatan kita dengan melatih pemain akar umbi untuk ambil alih tempat dalam skuad negara satu masa nanti, mungkin lima tahun akan datang. Kita kena ada sasaran untuk pastikan pemain tempatan kita ambil alih perlahan-lahan.

“Jika tidak, sampai bila kita nak mengharapkan pemain warisan atau naturalisasi dan kita tak boleh harapkan mereka selamanya,” katanya.