ATLET yang turun dengan status ‘underdog’ di Sukan Olimpik Paris 2024 seharusnya memasang impian besar untuk mencipta sensasi dengan sekurang-kurangnya mencetak rekod kebangsaan bagi meninggalkan ‘jejak’ di temasya empat tahun sekali itu.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pemahaman sekadar untuk menimba pengalaman berharga, dilihat seolah-olah hanya ‘makan angin’ tanpa menetapkan sasaran buat diri sendiri dan ini perlu diubah dengan segera agar selari dengan perubahan zaman.
Menyedari ia bukanlah sesuatu yang mudah buat atlet, namun tiada yang mustahil sekiranya mereka mempunyai mentaliti ‘wajib berjuang bermati-matian’ memandangkan mereka ini dikategorikan dalam kumpulan ‘nothing to lose’ (tidak rugi).
“Kalau boleh yang pergi pertama kali (secara merit) mesti ada sasaran (walaupun) tahu dia mungkin tidak boleh menang, dia mesti pergi all out (sehabis baik) untuk mendapatkan personal best dalam setiap acara yang mereka masuk… kalau boleh cetak rekod kebangsaan.
“Sebab atlet-atlet yang pertama kali masuk Olimpik ini dia rasa macam (mahu) cari pengalaman, namun kena ingat Olimpik ini empat tahun sekali…(Kalau) setakat mahu cari pengalaman belum tentu (Olimpik seterusnya) dapat masuk lagi sebab bukan mudah nak masuk (Olimpik),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pekan menegaskan, adalah penting untuk atlet mengisi slot Olimpik secara merit berbanding tempat wildcard kerana mereka mempunyai kelebihan tersendiri untuk ‘menempa nama’ selain dapat mengumpul mata ranking dunia bagi mengukuhkan kedudukan untuk beraksi pada edisi akan datang.
Selain itu, beliau berharap semua pihak berkepentingan menjaga kebajikan atlet dengan sebaiknya bagi memastikan mereka mampu menggalas cabaran negara dalam dua kitaran Sukan Olimpik lagi.
“Atlet kita perlu berjuang untuk layak ke Olimpik secara merit (kerana) kalau yang pergi wildcard kemungkinan empat tahun lagi pastinya ramai atlet negara lain yang meningkat dan menyaksikan mereka terkeluar daripada senarai beraksi.
sumber:-SH
“Atlet yang masuk (Olimpik Paris) kebanyakannya atlet muda (dan) mereka perlu berjuang habis-habisan (dan) dapatkan prestasi terbaik supaya kita letakkan dia dalam dua kitaran Olimpik lagi.. barulah kita respect kepada mereka,” katanya.