sukan

Ubai tekad mahu cipta sejarah membantu pasukannya layak ke final

KUALA TERENGGANU: Beraksi di pentas separuh akhir Piala FA menjadi impian buat pemain muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili yang tekad mahu mencipta sejarah membantu pasukannya layak ke final pada musim ini.

Jelas pertahanan berusia 21 tahun itu, penampilan kali pertamanya pada Jumaat ini mahu diabadikan dengan noktah kegembiraan lebih-lebih lagi pasukannya kini berada pada tahap prestasi terbaik.

Bagaimanapun bekas pemain skuad Projek FAM-MSN kelahiran Kelantan itu sedar ianya bukan tugas mudah untuk mengulangi pencapaian 2022 layak ke final kerana bakal berdepan dengan pasukan elit.

“Jika diturunkan oleh jurulatih, sudah pasti saya akan memberikan aksi 100 peratus sebagaimana sebelum ini untuk membantu pasukan memburu bekalan selesa pada aksi pertama.

“Lagipun aksi separuh akhir nanti bakal menjadi penampilan pertama saya di pentas itu sepanjang karier, sejujurnya saya begitu teruja dan bagaikan tidak sabar untuk menanti tiupan wisel pertama pengadil.

“Harapan saya siapapun yang bakal diturunkan jurulatih nanti, mereka mampu menyajikan aksi terbaik dan bertenaga untuk melangkah ke pentas final selepas terkandas pada peringkat sama musim lalu kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC),” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Ubai’ itu beraksi cemerlang di posisi pertahanan bersama tiga lagi pemain tempatan dalam enam perlawanan awal susulan kecederaan dua pertahanan import, Mathew Steenvoorden dan Argzim Redzovic.

TFC yang menang dengan agregat besar 7-0 menumpaskan Sabah FC pada peringkat suku akhir bakal melayani kunjungan Selangor FC terlebih dahulu dalam aksi separuh akhir pertama pada 19 Julai ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

sumber:-BH

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu bakal bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 3 Ogos depan untuk aksi timbal balik.