sukan

Ubaidullah kecewa masalah sama masih berulang

Bangkok — Harapan tinggi untuk membuka kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dengan kemenangan lebur di tangan Lubnan apabila skuad Harimau Muda tewas tipis 0-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan F yang berlangsung di Stadium Thammasat, semalam. Kekalahan ini bukan sekadar kehilangan tiga mata, tetapi juga menghidupkan semula persoalan lama yang terus menghantui bola sepak muda negara — ketumpulan di depan gawang.

Walaupun Malaysia B-23 tampil dengan keyakinan tinggi dan menguasai hampir keseluruhan permainan, mereka gagal memanfaatkan peluang yang terhidang. Jaringan tunggal Ali El Fadl pada minit ke-83 menjadi pemisah, menghukum kelekaan dan kegagalan penyudah skuad muda negara yang dilatih oleh Nafuzi Zain.

Kapten pasukan, Ubaidullah Shamsul, tidak berselindung dalam mengakui kekecewaan selepas perlawanan. Menurut pertahanan Terengganu FC itu, pasukan memulakan perlawanan dengan baik, namun ketumpulan di depan gawang terus menjadi duri dalam daging.

“Kecewa sebab permainan kami agak baik di babak pertama tetapi macam biasa, siapa yang menjaringkan gol, merekalah yang akan menang,” katanya.

Ubaidullah turut mengaitkan masalah penyudah ini dengan kempen Piala Mandiri ASEAN B-23 yang lalu, di mana Malaysia turut gagal mencetak gol dalam beberapa perlawanan penting.

“Masalah kita masih sama sejak Piala Mandiri ASEAN B-23 lalu, tak jaringkan gol dan tak tahu nak buat macam mana,” luahnya dengan nada kecewa.

Malaysia mencatat penguasaan bola yang tinggi sepanjang perlawanan, dengan beberapa peluang dicipta menerusi Aliff Izwan, Fergus Tierney dan Azrin Afiq. Namun, sama ada disekat penjaga gol Anthony Maasry atau tersasar, tiada satu pun yang berjaya menembusi gawang Lubnan.

Di penghujung perlawanan, Harimau Muda menggandakan asakan, namun penyudah yang tumpul terus menjadi penghalang. Lubnan pula memanfaatkan satu-satunya peluang bersih mereka dengan sempurna — satu sepakan leret dari El Fadl yang menewaskan Zulhilmi Sharani.

Kekalahan ini memberi tamparan hebat kepada Malaysia yang bertekad mahu membuka tirai kempen dengan kemenangan. Lebih mengecewakan, dominasi penguasaan bola gagal diterjemahkan kepada jaringan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keberkesanan taktikal dan mentaliti penyudah.

Kini, peluang ke pusingan akhir semakin sukar. Malaysia wajib menang dalam dua baki perlawanan — menentang Mongolia pada Sabtu ini dan Thailand pada 9 September. Lubnan pula dijadual bertemu tuan rumah Thailand, yang membuka kempen dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Mongolia.

Jurulatih Nafuzi Zain kini berdepan tugas berat untuk memperbaiki aspek penyudah dalam masa singkat. Dengan format kelayakan yang hanya membenarkan juara kumpulan dan empat naib juara terbaik mara ke pusingan akhir di Arab Saudi, setiap perlawanan kini menjadi penentu.