sukan

Ujian getir menanti Jun Hao di pusingan kedua

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mempamer aksi bertenaga apabila menewaskan wakil Jepun, Kenta Nishimoto 21-15, 21-18 pada pusingan pertama Terbuka China, hari ini.

Jun Hao yang kandas seawal pusingan pertama di Terbuka Jepun minggu lalu, dilihat lebih tenang mengawal permainan terutamanya ketika saat genting sebelum melakar kemenangan mutlak pada perlawanan berlangsung selama 45 minit itu.

Dengan kemenangan itu, Jun Hao kini mengungguli rekod pertemuan antara mereka apabila mencatatkan tiga kemenangan daripada lima pertemuan.

Bagaimanapun ujian getir menanti Jun Hao apabila bakal bertemu pemain nombor satu dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn pada pusingan kedua, Khamis ini.

“Kemenangan hari ini membuatkan saya lebih yakin dan perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya bertemu Kunvalut,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Rekod pertemuan menyaksikan kedua-dua pemain sudah bertemu enam kali dengan masing-masing mencatatkan tiga kemenangan.

Namun kali terakhir Jun Hao menewaskan sensasi Thailand itu adalah pada 2018 sedangkan Kunvalut mencatatkan kemenangan pada dua pertemuan terakhir dengan yang terbaru di Terbuka Singapura, Mei lalu.

sumber:- HM

Sementara itu beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri tersungkur seawal pusingan pertama selepas tewas di tangan gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 11-21, 10-21 hanya dalam tempoh 23 minit.