sukan

Ujian sebenar Harimau Malaya sudah tiba

KEMPEN Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang bermula Ogos depan menjadi pentas terbaik untuk menguji kekuatan skuad Harimau Malaya bersaing di pentas tertinggi.

Pasukan kebangsaan yang menghuni ranking ke-131 dunia secara rasmi pada Khamis diundi dalam Kumpulan B bakal menentang tiga pasukan kuat dari Asia Tengah iaitu pasukan nombor 18 dunia, Iran yang juga juara bertahan, Tajikistan (104) dan Afghanistan (160).

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, kejohanan tersebut juga menjadi penanda aras dan melihat keupayaan sebenar skuad bimbingan Peter Cklamovski untuk bersaing dalam kancah antarabangsa.

“Ini pentas besar untuk menilai di mana kedudukan pasukan kita. Menjadi ujian sebenar buat skuad untuk membuktikan sesuatu kepada peminat tanah air.

“Para pemain perlu all out, keluarkan segala yang ada untuk menandingi pasukan kuat seperti Iran. Inilah masanya untuk bina keserasian, kerja berpasukan dan kekuatan mental untuk berdepan pasukan besar,” katanya kepada Sukan Sinar.

Dalam saingan di Hisor itu, Malaysia dijadual menentang pasukan tuan rumah, Tajikistan pada 29 Ogos, disusuli Iran pada 1 September dan Afghanistan tiga hari kemudian.

Pekan juga berharap pasukan kebangsaan dapat mengumpulkan para pemain terbaik termasuk yang berkelana di luar negara kerana kejohanan tersebut juga menjadi medan persiapan untuk ke Piala Asia 2027 dan Piala Dunia 2030.

“Menerusi gabungan pemain warisan di luar negara dan yang beraksi di pentas domestik serta tenaga tempatan diharapkan ia mampu memperkukuhkan pasukan untuk dua kejohanan besar itu,” katanya.

Penampilan pemain warisan baharu seperti Facundo Garces, Jon Irazabal, Hector Hevel, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Gabriel Palmero dan Imanol Machuca dalam saingan kelayakan Piala Asia baru-baru ini nyata memberi impak besar buat skuad negara ketika membenam Vietnam 4-0.

Pekan menjelaskan bahawa andai pasukan tidak dapat menggunakan khidmat pemain warisan di luar negara kerana aksi awal pada hujung Ogos adalah di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pemain warisan lain perlu memainkan peranan penting bersama anak tempatan.

“Jangan nanti orang akan bercakap, kita silap buat perhitungan bermain di luar kalendar FIFA. Jadi pemain warisan di dalam negara dan anak tempatan wajar buktikan mereka juga mampu buat yang terbaik.

“Berdepan Tajikistan dalam aksi pertama mungkin tanpa kelibat pemain warisan di luar negara, namun menentang Iran dan Afghanistan kita berpeluang menggunakan sepenuhnya pemain warisan.

“Inilah peluang untuk pemain buktikan mereka mampu menandingi pasukan kuat di pentas antarabangsa,” katanya.

sumber:- SH

Sebagai rekod, Piala Negara-Negara CAFA bermula 29 Ogos, manakala kalendar Persekutan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mulai 1 hingga 9 September.