KUALA LUMPUR: Kejohanan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung bulan depan bakal menjadi ujian sulung dan getir buat pemangku ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente.
Selepas prestasi memberansangkan berjaya dipamer Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan Gon, harapan kini terletak dibahu Vicente untuk terus menarik keyakinan peminat terhadap skuad itu.
Vicente dilihat tidak berdepan masalah besar terutama dalam menyesuaikan diri bersama Harimau Malaya dengan dia sudah biasa mengenai sistem skuad itu selain turut mengenali ramai pemain selepas hampir dua tahun setengah bertindak sebagai penolong Pan Gon.
Bagaimanapun wujud juga persoalan adakah pengendali dari Sepanyol itu mampu untuk meneruskan langkah seperti yang dilakukan Pan Gon sebelum ini apabila berjaya memikat hati sebahagian besar penyokong Harimau Malaya.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan pihaknya percaya Vicente mampu menguruskan Harimau Malaya dengan baik meskipun ketiadaan Pan Gon.
“Pandangan kami (mengenai ketiadaan Pan Gon), nampak tiada masalah sebab pembantu dia sebelum ini, Pau Marti (dilantik) sebagai pemangku ketua jurulatih dan barisan kejurulatihannya masih ada lagi.
“Jurulatih kecergasan, jurulatih penjaga gol, semua ada lagi. Cuma ketua jurulatih, Pan Gon sahaja (tiada). Saya berasa benda itu tiada masalah.
“Memang kami yakin (dengan Vicente). Sebab dia sudah bersama pasukan hampir dua tahun setengah. Kami yakin dia mampu bawa pasukan ini,” katanya.
Vicente dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih selepas Pan Gon meletak jawatan pada 16 Julai lalu.
Pengendali berusia 41 tahun itu menjadi antara ‘orang kepercayaan’ Pan Gon dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan dengan dia sudah ‘mengikuti’ Pan Gon sejak hari pertama pengendali berusia 55 tahun itu mengendalikan Harimau Malaya pada 2022.
sumber:-BH
Dia juga memiliki latar belakang yang agak berprofil tinggi dengan memiliki lesen profesional daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan sentuhan terakhirnya sebelum menyertai skuad kebangsaan adalah memegang jawatan sebagai pembantu jurulatih skuad bawah 18 tahun (B-18) Barcelona.