sukan

Ukraine, Poland, Georgia mengesahkan slot Euro 2024

PARIS: Ukraine bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Iceland pada play-off sekali gus layak ke Euro 2024 awal pagi tadi, manakala Poland menempah tempat mereka pada pusingan akhir selepas menang penentuan penalti ke atas Wales dan Georgia layak buat julung kali ke kejohanan utama.

Ukraine berhasrat untuk layak ke kejohanan pertama sejak serangan Russia ke atas negara itu dua tahun lalu dan mereka melakukannya apabila bangkit untuk menyingkirkan Iceland 2-1 pada perlawanan yang diadakan di bandar raya Poland, Wroclaw.

Albert Gundmundsson melenyapkan sorakan penonton di bandar yang mempunyai ramai pelarian Ukraine apabila dia meletakkan Iceland di depan selepas setengah jam.

Iceland, dengan penduduk di bawah 400,000, berharap untuk kembali ke pusingan akhir pertandingan yang menyaksikan mereka mara ke suku akhir pada 2016.

Bagaimanapun, Ukraine yang layak ke suku akhir Euro 2020, menyamakan kedudukan sembilan minit selepas rehat menerusi gol cantik Viktor Tsygankov yang beraksi dengan kelab Sepanyol, Girona.

Masa tambahan makin menjengah apabila Ukraine meraih gol kemenangan enam minit sebelum tamat bila mana pemain Chelsea, Mykhailo Mudryk merembat masuk dari penjuru kotak penalti.

“Terima kasih semua! Terima kasih, pasukan! Bagi emosi yang penting buat seluruh negara. Bagi kemenangan penting dan mara ke Euro. Kerana membuktikan sekali lagi: bila mana warga Ukraine berdepan kesukaran tetapi tidak berputus asa dan terus berjuang, Ukraine pastinya menang,” tulis Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam laman X.

Sesudah terlepas kelayakan secara automatik kepada Itali dalam kumpulan mereka dan terpaksa beraksi play-off, Ukraine kini boleh bersedia menghadapi Kejohanan Eropah yang bermula pada 14 Jun depan di Jerman.

Mereka akan berada dalam Kumpula E di samping Belgium, Slovakia dan Romania dan pastinya bercita-cita untuk layak ke pusingan 16 terakhir.

Poland berdepan Kumpulan D yang lebih sukar di Euro bersama Perancis, Belanda dan Austria selepas menyingkirkan Wales pada penentuan penalti mendebarkan di Cardiff.

Perlawanan itu berakhir 0-0 selepas 90 minit dan tiada sebarang gol pada masa tambahan, yang berakhir dengan pemain Wales, Chris Mepham dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Penentuan penalti berkualiti, yang bermula dengan Robert Lewandowski menyempurnakan sepakan pertama Poland, menyaksikan sembilan penalti yang berjaya sebelum sepakan Daniel James diselamatkan dan Wales tumbang 5-4.

Tiada penampilan ketiga berturut-turut Kejohanan Eropah buat Wales, yang layak ke separuh akhir pada 2016, namun Poland tampil buat kali kelima berturut-turut pada kejohanan sebenua itu.

“Ia satu perlawanan yang kejam, itulah yang saya katakan kepada pemain, hanya satu langkah untuk layak. Ia menyakitkan,” kata pengurus Wales, Rob Page kepada penyiar S4C.

Terdahulu, Georgia melakar sejarah apabila mara ke kejohanan utama buat julung kali sejak negara di Caucasus dengan 3.7 juta penduduk itu mendapat kemerdekaan daripada Soviet Union pada 1991.

sumber:-BH

Mereka menewaskan Greece 4-2 menerusi penentuan penalti selepas seri 0-0 pada hujung masa tambahan di Tbilisi, mencetus suasana kegembiraan apabila penyokong menceroboh masuk ke padang di Stadium Boris Paichadze. – AFP