sukan

UM Damansara berjaya sumbat tiga gol di SSI

Iskandar Puteri: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke suku akhir Piala FA dengan agregat 10-3 selepas menewaskan UM Damansara United, 5-3 dalam perlawanan kedua Pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam ini.

Menerusi kemenangan bergaya itu, JDT yang dibimbing Xisco Munoz akan berdepan Penang FC pada aksi pertama suku akhir di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, 18 Oktober depan.

Berbekalkan kelebihan 5-0 pada aksi pertama, Munoz melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama dan seolah-olah menurunkan pasukan kedua menentang skuad kendalian Ridzuan Abu Shah.

JDT membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi tandukan Romel Morales yang menyudahkan hantaran lintang Manuel Hidalgo dan menewaskan penjaga gol pelawat, Haziq Fitri Nek Lah.

Lima minit kemudian, Hidalgo menjaringkan gol kedua JDT sebelum Heberty Fernandes menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-14.

Pada babak kedua, JDT memberi peluang kepada Ibrahim Manusi membuat penampilan pertama apabila masuk menggantikan Shahrul Saad pada minit ke-60 bagi mengemudi benteng tengah.

Namun penampilan Ibrahim tampak kurang efektif selepas bola tolakan ke belakang pada minit ke-62 gagal dikawal penjaga gol, Christian Abad menyaksikan Thankgod Michael bingkas menyambar bola dan menolak masuk ke gawang kosong, sekali gus menjadikan kedudukan 3-1.

Gawang JDT bolos lagi pada minit ke-66 menerusi pemain gantian, Anuar Ceesay untuk merapatkan jurang gol 3-2.

Namun, pada minit ke-70 Morales yang melonjak tinggi untuk menanduk masuk menewaskan Haziq Fitri bagi menjadikan kedudukan 4-2 dengan agregat 9-2.

Ceesay yang berstatus pemain warisan merapatkan jurang gol 4-3 pada minit ke-74 selepas mudah mengatasi Ibrahim sebelum melakukan rembatan dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Abad.

dibolosi.

Ketika aksi memasuki minit akhir perlawanan, JDT dihadiahkan sepakan penalti, namun percubaan Morales ditepis Haziq Fitri.

Bagaimanapun, Morales menebus kekecewaan dan melakar hatrik pada perlawanan itu selepas menyudahkan bola hantaran lintang Moussa Sidibe bagi memastikan kemenangan 5-3 dan layak ke suku akhir dengan agregat 10-3.