SEREMBAN: Jurang ketara membezakan skuad Universiti Malaysia (UM) dan juara bertahan, Johor Darul Ta`zim (JDT) pada pertembungan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok.
Namun pengendali UM, Ridzuan Abu Shah yakin skuad bimbingannya tetap mempunyai kemampuan untuk menandingi Harimau Selatan pada pertembungan itu nanti.
Menurutnya, UM sudah membuat persiapan yang perlu bagi memastikan pasukan itu tidak menjadi skuad belasahan di Stadium Sultan Ibrahim nanti.
“Kami akan cuba berikan persembahan terbaik dan semangat melawan yang tinggi terhadap JDT, konsep kita kalau pasukan Liga Super pun menggunakan strategi bertahan apabila berhadapan dengan JDT, kami lebih lagi bertahan.
“Tiada siapa boleh menafikan kekuatan JDT berbanding kami sebuah pasukan kerdil, tambahan lagi tidak memiliki pemain import. Kami juga tidak boleh membuat jangkaan kemungkinan JDT tidak menurunkan pemain import kerana itu adalah hak dan strategi mereka.
“Apapun kami akan beraksi dengan kemampuan yang ada dan akan cuba menyekat setiap gerakan jentera serangan pasukan lawan itu nanti,” kata Ridzuan.
Ridzuan yang pernah membimbing pasukan Negeri Sembilan mengakui anak buahnya sangat teruja untuk beraksi menentang JDT, yang juga juara 10 kali Liga Super serta juara bertahan Piala FA.
“Pemain-pemain saya tidak berpeluang untuk beraksi dalam Liga Super dan bersaing dengan pemain seperti Bergson, Fernando Forestieri dan beberapa orang lagi, jadi ini satu peluang untuk mereka belajar dan menimba pengalaman.
“Saya hanya mengharapkan pemain tidak gugup apabila berhadapan dengan pemain JDT dan mahu mereka memberikan persembahan terbaik pada tahap keupayaan sebenar,” katanya.
sumber:-BH
Terdahulu, skuad yang dibarisi ‘budak universiti’ itu mencipta kejutan apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, 3-0, pada pusingan kalah mati.