sukan

‘United bermasalah’ bukan Antony – peminat

LONDON: Antony meneruskan persembahan cemerlang di Real Betis dengan menjaringkan gol menentang Gent pada aksi playoff Liga Konferens Europa.

Pemain berusia 24 tahun yang gagal bersama Manchester United, menyertai kelab Sepanyol itu secara pinjaman bulan lalu sesudah bergelut ketika beraksi di Old Trafford.

Pemain Brazil itu menemui jaringan dalam penampilan keduanya bersama Betis menentang Celta Vigo hujung minggu lalu, sesudah membuat umpanan gol pada penampilan sulungnya.

Dia meneruskan kebangkitannya dengan meledak gol cantik untuk memberikan pasukan pinjamannya gol pendahuluan di Belgium awal pagi tadi.

Tidak sampai dua minit selepas rehat, pemain sayap itu menyambut hantaran di sayap kanan sebelum melencongkan satu sepakan kaki kiri menakjubkan ke penjuru bawah gol lawan.

Peminat dalam talian pantas memberi komen mengenai gol Antony.

Seorang peminat berkata: “United yang bermasalah.”

Manakala yang kedua mengkritik: “Kini jelas United merosakkan setiap pemain.”

Peminat ketiga menulis: “Gila apa yang keyakinan boleh lakukan terhadap seorang pemain.”

Ketua pegawai eksekutif Real Betis, Ramon Alcaron mengakui pasukannya berminat untuk mengikat Antony secara tetap.

Bekas bintang Ajax itu masih ada kontrak di United hingga Jun 2027. – AGENSI