sukan

Usah malu Selangor menang Piala Cabaran

KUALA LUMPUR: Penyokong Selangor tidak kisah dan tidak malu meskipun terdapat segelintir pihak yang menggelar Gergasi Merah memenangi ‘trofi kerdil’ selepas muncul juara Piala Cabaran, Sabtu lalu.

Malah, ada yang menganggap Piala Cabaran sebagai tidak setaraf dengan reputasi Selangor sebagai pasukan yang memiliki nama besar dalam kancah bola sepak tempatan termasuk pemegang rekod juara terbanyak Piala Malaysia iaitu sebanyak 33 kali.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid bagaimanapun menegaskan, penyokong tetap harus berbangga dengan kejayaan yang dicapai pasukan terbabit walaupun ia tidak seperti yang diharapkan.

Beliau berkata, kejayaan menjulang Piala Cabaran boleh menjadi pembakar semangat untuk Gergasi Merah yang kini dalam misi untuk bergelar naib juara Liga Super dan kekal bertanding dalam kejohanan peringkat Asia, musim depan.

“Sebagai penyokong, kita harus berdiri teguh di belakang pasukan, tidak kira piala itu piala bertaraf kedua atau ketiga. Kita juga tidak perlu membezakan piala, sebaliknya kita meraikan kejayaan bersama pasukan.

“Saya tidak malu (Selangor menang Piala Cabaran), kita abaikan apa yang netizen katakan dan kutukan di media sosial itu biasa. Apa yang penting kita jangan jatuhkan moral pasukan sendiri dan nilai sebuah juara itu bukan mudah.

“Pemain ke-12 sentiasa ada di stadium. Kita tahu bagaimana pemain berusaha keras untuk dapatkan piala dan kita tahu hati serta perasaan mereka. Jadi, saya harap penyokong bersikap adil untuk menghargai kejayaan pasukan,” katanya kepada BH Sukan.

Saingan Piala Cabaran dicipta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada 2018 yang mana ia disertai pasukan yang terkandas di pusingan 16 Piala Malaysia.

Selain itu, Faizal menjelaskan penyokong mengharapkan kejayaan lebih besar dapat dicapai Selangor bagi musim depan dengan skuad itu sekarang hanya berjuang untuk bergelar naib juara Liga Super bagi baki musim ini.

“Selangor kena kekal nombor dua Liga Super untuk pastikan boleh bersaing di peringkat Asia musim depan. Jadi, kita harap momentum itu dapat dikekalkan dengan hanya berbaki beberapa perlawanan sahaja lagi,” katanya.

sumber:-BH

Selangor kini mengumpul 42 mata dalam Liga Super dan dibezakan dengan lapan mata daripada Sabah yang menghuni tangga ketiga dengan saingan berbaki lima perlawanan lagi.