KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyeru penyokong bola sepak tempatan supaya tidak ‘muak’ dan terus memberi sokongan kepada saingan Liga Malaysia (Liga M) dan juga skuad Harimau Malaya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pasukan Liga M dan juga pasukan kebangsaan sentiasa mengharapkan kehadiran penyokong sebagai ‘pemain ke-12’ bagi menyemarakkan lagi arena bola sepak di negara ini.
Tegasnya, penyokong sentiasa menjadi ‘pemegang taruh’ yang sangat penting sekali gus kehadiran mereka khususnya menyaksikan perlawanan secara langsung di stadium amatlah ditagih.
“Jika sayang pasukan Liga M dan skuad kebangsaan, mereka perlulah hadir ke stadium memberikan sokongan padu. Walaupun menghadapi pelbagai masalah namun pemain tetap berjuang demi penyokong.
“Kekurangan penyokong ke stadium akan merencatkan lagi perjalanan pasukan Liga M. Oleh itu, orang ramai perlu bersama untuk memeriahkan lagi saingan Liga M dan terus menyokong pasukan kebangsaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan saingan Liga M dilihat semakin tidak kompetitif dan ditambah terdapat pasukan yang terlalu dominan menyebabkan kualiti liga itu semakin suram sehingga membuatkan peminat mengambil langkah tidak hadir ke stadium.
Malah peminat juga berpendapat prestasi pasukan kurang meyakinkan dan sering terpalit dengan isu kewangan selain penyusunan jadual perlawanan oleh MFL membuatkan peminat ‘muak’ dengan drama kitar semula berlaku setiap tahun.
Namun, ketika ramai pihak beranggapan kancah bola sepak tempatan kian suram terutamanya selepas kehadiran penyokong ke stadium yang kian merosot namun penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) menepis tanggapan itu dengan turun menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.
Pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara JDT menentang Terengganu FC (TFC), lebih 23,000 penyokong setia Harimau Selatan menjadi saksi kepada kejayaan JDT mengesahkan tiket ke final Piala Malaysia buat kali kelima berturut-turut.
Kehadiran memberangsangkan penyokong itu jelas menggembirakan pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan penghargaan beliau menerusi satu hantaran di laman X nya.
sumber:-BH
“It’s still alive (bola sepak masih hidup). Terima kasih kepada 23 ribu yang hadir pada hari ini. Alhamdulillah another (satu lagi) final,” kata Tunku Mahkota Ismail.