sukan

‘Usah pandang Laos sebelah mata’

KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa kemungkinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih pasukan ranking 187 dunia, Laos sebagai lawan Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa, bulan depan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan tidak menolak kemungkinan kesukaran mendapatkan lawan kerana banyak negara lain terbabit dengan aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menjadi salah satu faktor utama Laos terpaksa menjadi pilihan badan induk itu.

Justeru, Wan Jamak menganggap aksi berdepan Laos tetap menjadi perlawanan penting untuk skuad negara mendapatkan mata bagi ranking dunia selepas tewas kepada New Zealand dan gagal mendapatkan satu lagi aksi persahabatan dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 7 hingga 15 Oktober lalu.

Beliau berkata, aksi berdepan Laos juga mungkin menjadi strategi untuk Harimau Malaya mendapatkan motivasi atau mencuba kombinasi pemain di bawah kendalian Pau Marti Vicente selepas tewas kepada New Zealand dan menjelang pertembungan dengan pasukan ranking 125 dunia, India, 19 November depan.

Katanya, meskipun Laos berada di kedudukan lebih rendah dari Malaysia dalam ranking FIFA, namun semua pihak tidak boleh memandang skuad kendalian Ha Hyeok Jun itu dengan sebelah mata.

“Bagi saya itu satu agenda atau program yang diletakkan oleh FAM untuk memastikan pasukan senior ada perlawanan persahabatan bagi menentukan kedudukan ranking.

“Siapa lawan itu terpulang kepada FAM, sama ada pasukan lawan ranking lebih rendah atau lebih tinggi, saya berasa perlawanan antarabangsa itu perlu ada. Kalau lawan dengan pasukan kuat, kita kalah pun tak guna juga.

“Mungkin ini satu strategi atau aksi pemanas badan untuk menilai pasukan yang dibentuk oleh jurulatih baharu. Dia (Vicente) baru ambil pasukan bermula dari Pestabola Merdeka, kemudian lawan New Zealand dan mereka kalah.

“Sepatutnya kita perlu lawan pasukan lebih baik atau setaraf dengan kita, tapi kita kena tahu juga mungkin negara lain pun ada kalendar atau perancangan mereka sendiri.

“Apa pun kita tak boleh melihat Laos sebagai pasukan lemah sebab kita tengok sekarang di peringkat remaja kita susah nak dapatkan keputusan. Jadi kena hati-hati, ranking mereka lebih rendah dari kita tapi dalam padang kita tak tahu,” katanya kepada BH Sukan.

Semalam, FAM mengumumkan Harimau Malaya yang menghuni ranking 133 dunia akan menentang Laos di Stadium Port Authority of Thailand (PAT), Bangkok, 14 November depan sebelum terbang ke India.

sumber:-BH

Bagaimanapun, segelintir peminat dilihat mempertikai keputusan FAM mengatur perlawanan dengan Laos berdasarkan kedudukan ranking mereka yang jauh lebih rendah dari Harimau Malaya.