sukan

Vicente gembira jumpa Filipina

KUALA LUMPUR: Pemangku ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente mengakui gembira apabila Harimau Malaya diundi berdepan Filipina bagi aksi pertama Pestabola Merdeka 2024, bulan depan.

Pengendali dari Sepanyol itu menjelaskan, barisan kejurulatihan kini boleh memberi lebih tumpuan untuk membuat analisis terhadap corak permainan Filipina.

Beliau berkata, pertembungan dengan Filipina bagi aksi pertama Pestabola Merdeka pada 4 September ini juga bagus buat Harimau Malaya sebagai persediaan untuk Piala ASEAN 2024, hujung tahun ini.

“Bertemu Filipina untuk perlawanan pertama pada 4 September, mungkin kita tahu mengenai mereka kerana mereka juga dari rantau Asia Tenggara.

“Bagi saya, sangat gembira berpeluang bertemu Filipina. Mereka juga pasukan pertama yang saya hadapi sebagai penolong jurulatih semasa kami menyertai skuad Harimau Malaya dua tahun lalu,” katanya.

Selain pertemuan Malaysia dan Filipina, satu lagi aksi Pestabola Merdeka 2024 akan menemukan juara bertahan, Tajikistan dan Lubnan yang turut akan berlangsung pada 4 September depan.

Pemenang aksi pertama itu akan mara ke final manakala pasukan yang tewas akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga.

Selain itu, Vicente menjelaskan barisan kejurulatihan akan memantau semua pemain bagi membentuk skuad mantap untuk menghadapi Pestabola Merdeka 2024.

“Walaupun sebagai jurulatih baharu, bukan baharu sebenarnya. Jadi saya sudah biasa dengan semua di sini, dengan semua pemain dan barisan kejurulatihan, kami tahu tugas kami.

sumber:-BH

“Kami hanya mahu menunjukkan kepada semua bahawa kami masih di sini,” katanya.