sukan

Vicente mahu tinggalkan kenangan manis

KUALA LUMPUR: Meninggalkan kenangan manis susulan tugasan terakhir bersama Harimau Malaya menjadi impian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente dalam kempen Piala ASEAN 2024.

Piala ASEAN 2024 menjadi pentas terakhir Vicente bersama skuad negara apabila beliau akan berpisah dengan Harimau Malaya selepas kejohanan itu.

Situasi itu terpaksa ditempuhi pengendali dari Sepanyol susulan struktur baharu skuad kebangsaan yang dijangka akan diumumkan bulan ini.

Bagaimanapun, Vicente juga dilihat perlu mengharapkan ‘kejutan’ dapat berlaku untuk meraih pencapaian besar dalam kempen Piala ASEAN susulan beberapa kekangan atau cabaran yang dialami Harimau Malaya ketika ini.

“Ia menjadi satu impian, impian untuk seluruh rakyat Malaysia dan juga bagi saya serta pemain. Kami sedar ia sukar, kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan skuad, liga masih berjalan, sukar untuk kelab lepaskan pemain.

“Namun kami memahami situasi kelab kerana mereka juga perlu beraksi. Jadi, kami memiliki pilihan yang terhad, namun kami mahu pergi sejauh yang mungkin (dalam Piala ASEAN).

“Saya fikir pemain sangat bermotivasi. Kami memiliki skuad campuran dengan beberapa pemain berpengalaman dalam pasukan dan juga pemain muda,” kata Vicente.

Harimau Malaya akan membuka kempen Piala ASEAN 2024 dalam Kumpulan A berdepan Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Ahad ini sebelum menanti kunjungan Timor Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil, lima hari kemudian.

Skuad negara seterusnya akan menentang juara bertahan Thailand di Bangkok pada 14 Disember dan aksi terakhir kumpulan berdepan Singapura di Bukit Jalil (20 Disember).

Selain itu, Vicente menjelaskan tindakannya mengumumkan ‘perpisahan’ dengan Harimau Malaya lebih awal supaya semua pihak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada Piala ASEAN.

Beliau yang diberi tanggungjawab mengemudi Harimau Malaya selepas peletakan jawatan Kim Pan Gon pada Julai lalu menerima dengan hati terbuka apabila terpaksa meninggalkan Harimau Malaya susulan struktur baharu skuad kebangsaan.

sumber:-BH

“Sudah tentu saya mahu kekal lebih lama. Namun, ini bukan keputusan saya dan saya harus menerimanya. Seperti saya katakan sebelum ini, saya hanya fokus kepada perkara yang saya boleh lakukan. Melatih pasukan dan bantu pemain untuk meraih keputusan,” katanya.