sukan

Vietnam laung ‘amaran’ buat Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Kebangkitan yang ditunjukkan Vietnam pada kempen Piala ASEAN 2024 boleh dianggap sebagai satu ‘amaran keras’ terutamanya buat Malaysia memandangkan kedua-dua negara akan berentap pada pusingan terakhir Kelayakan Piala Asia 2027, Mac ini.

Skuad ‘Naga Emas’ mengharungi tahun 2024 yang sukar apabila tidak berada pada prestasi terbaiknya sehingga menyaksikan mereka terkeluar daripada kelompok 100 pasukan terbaik.

Namun kempen Piala ASEAN 2024 menyerlah sisi berbeza skuad bimbingan Kim Sang Sik yang menyaksikan mereka mengecewakan juara bertahan, Thailand untuk merangkul gelaran ‘Raja Bolasepak ASEAN’ buat kali ketiga dan mengharungi kempen tanpa sebarang kekalahan.

Situasi ini jelas menghadirkan cabaran yang besar buat skuad Harimau Malaya apatah lagi hanya juara kumpulan dapat mengesahkan slot ke saingan tertinggi benua Asia yang akan berlangsung di Arab Saudi itu.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus melihat Vietnam berjaya mengharungi proses pemulihan menerusi transisi daripada barisan kejurulatihan sebelum ini kepada barisan kejurulatihan baharu sekali gus tampil sebagai pasukan jauh lebih mantap.

Justeru, perkembangan ini menuntut perubahan yang lebih baik dalam skuad Harimau Malaya dan Fauzi mengharapkan barisan kejurulatihan diterajui pengendali baharu, Peter Cklamovski dapat mencari ‘resipi’ terbaik hanya dalam tempoh tiga bulan ini.

“Vietnam pun bukanlah terlalu ‘down’ tetapi mereka dalam proses pemulihan untuk mendapatkan kekuatan mereka semula dan itu yang mereka tunjukkan pada Piala ASEAN baru-baru ini. Memang mereka sudah mantap daripada segi patriotisme dan pembikinan skuad senior.

“Faktor ini juga dibantu dengan kehadiran pemain naturalisasi yang memberi impak kepada pasukan mereka. Mereka benar-benar mengambil serius kejohanan ini dan sebab itulah mereka dapat menjulang gelaran kali ini.

“Kita memang perlu berwaspada kerana Vietnam akan menjadi lawan kita, kita perlu sentiasa mencari idea untuk merencana percaturan yang terbaik yang memanfaatkan kekuatan kita. Apa yang penting, kita dapat membina kekuatan kita sendiri bagi memantapkan pasukan.

sumber:-BH

“Kita tidak boleh lagi memandang ke belakang dan barisan kejurulatihan baharu ini tentu ada perancangan tersendiri untuk membezakan kekuatan yang kita ada dengan Vietnam. Kita perlu sentiasa berada di prestasi terbaik,” katanya.