KUALA LUMPUR: Vietnam tidak akan mengikut jejak langkah Malaysia dan Indonesia yang merekrut pemain warisan secara besar-besaran untuk meningkatkan prestasi skuad kebangsaan dalam tempoh singkat.
Presiden Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan sebaliknya menegaskan bahawa hala tuju strategik mereka adalah memberi keutamaan kepada pembangunan bola sepak tempatan menerusi program akar umbi dan meningkatkan sistem liga domestik.
Mengakui sumbangan besar pemain naturalisasi atau warisan, beliau menjelaskan pengambilan pemain ‘import’ untuk skuad Naga Emas akan dilakukan dengan teliti dan mengikut kesesuaian.
“Kami tetap konsisten dengan strategi pembangunan yang berasaskan kekuatan dalam bola sepak dan pada masa yang sama kami mengambil kira bahawa jika kami menambah pemain naturalisasi, ia mesti dilakukan secara terpilih dan bersesuaian.
“Ia bagi mengekalkan identiti serta mewujudkan motivasi untuk pasukan terus berkembang, bukan secara besar-besaran seperti Indonesia atau Malaysia,” katanya seperti dilaporkan media Vietnam, Anninh Thu do.
Vietnam yang berada di ranking 109 dunia mengalami kekalahan memalukan 0-4 kepada Malaysia (ranking 131) dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Jun lalu.
Kemenangan besar Malaysia itu dibantu dengan kehadiran pemain warisan baharu terutama Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Facundo Garces dan Jon Irazabal yang dianggap memberi impak besar terhadap prestasi Harimau Malaya.
Justeru, ramai yang beranggapan bahawa Vietnam akan mengikut jejak Malaysia dengan merekrut pemain naturalisasi atau warisan baharu terutama apabila kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan dalam aksi terakhir Kumpulan F, 31 Mac tahun depan.
Sementara itu, kelab Vietnam, Cong An Hanoi FC (CAHN) dilaporkan akan memanfaatkan sepenuhnya dua slot yang diperuntukkan kepada pemain Vietnam yang beraksi di luar negara tanpa kewarganegaraan untuk musim 2025–2026.
Berdasarkan laporan VNExpress, CAHN mempunyai senarai khas pemain berdarah Vietnam yang bermain di luar negara dan proses pengambilan serta naturalisasi akan dijalankan dengan kaedah yang sama seperti Nguyen Filip dan Cao Quang Vinh Pendant.
Pemain pertama yang dijangka tiba di CAHN adalah bintang tengah skuad bawah 21 tahun Burnley, Brandon Ly yang turut menyatakan minat untuk mewakili skuad kebangsaan Vietnam.
sumber:- BH
“Saya pernah terfikir untuk bermain bersama pasukan kebangsaan Vietnam. Keluarga saya juga pernah membincangkannya. Saya tidak tahu apa yang menanti pada masa hadapan, tetapi saya sangat teruja,” katanya.