sukan

Vissel Kobe sebelah kaki ke pusingan kalah mati ACLE

Tokyo: Vissel Kobe semakin hampir untuk ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) selepas mencatatkan kemenangan dramatik 3-2 mengatasi Central Coast Mariners pada hari Selasa manakala Shanghai Port meraih kemenangan hasil jaringan hatrik Matias Vargas.

Beberapa hari selepas menjuarai piala domestik selain semakin hampir meraih gelaran J. League, Vissel Kobe mengatasi juara Australia itu dengan mudah .

Ryuho Kikuchi membuka jaringan pada minit ke-40, memanfaatkan peluang dari jarak dekat untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.

Empat minit selepas rehat, Vissel menambah jaringan kedua apabila pemain pertahanan Mariners, Storm Roux, secara tidak sengaja menanduk bola ke gawang sendiri, dengan bola melambung melepasi penjaga gol Dylan Peraic-Cullen.

Lima minit kemudian, Roux menebus kesilapan itu dengan memaksa pemain tengah tuan rumah, Hotaru Yamaguchi, menjaringkan gol sendiri.

Mariners kemudian berjaya menyamakan kedudukan apabila percubaan Bailey Brandtman terkena kaki pemain pertahanan Vissel, menukar arah bola dan masuk ke gawang.

Namun, ketika segalanya kelihatan seperti akan berakhir dengan keputusan seri, Daiju Sasaki menjaringkan gol jarak jauh pada minit ke-81 yang terlepas dari dakapan Peraic-Cullen sekali gus memberikan kemenangan 3-2 kepada Vissel.

Kemenangan ini menyaksikan Vissel memiliki kelebihan empat mata di puncak Kumpulan Zon Timur dalam saingan kelab terbaik Asia ini. Dengan lapan pasukan teratas mara ke pusingan 16, mereka hampir pasti akan melangkah ke pusingan kalah mati kecuali berlaku kejatuhan teruk.

Selepas mengharungi lima perlawanan, juara A-League, Central Coast, hanya mengumpul satu mata dan kini berada di kedudukan kedua tercorot.

Di tangga tercorot adalah dua kali juara Asia, Ulsan selepas tewas 3-1 di laman sendiri kepada Shanghai Port, yang baru sahaja dinobatkan juara liga China.

Walaupun Shanghai bermain dengan 10 orang selepas Li Ang dibuang padang pada minit ke-31, mereka sudah mendahului 2-0 dengan Vargas menjaringkan gol pada minit ke-11 dan 23.

Ulsan cuba bangkit pada babak kedua dengan gol oleh Joo Min-kyu, namun Vargas menambah satu lagi gol pada minit ke-83 untuk melengkapkan hatrik dan memberikan kemenangan 3-1 kepada Shanghai.

Shanghai kini berada di tangga kelapan carta dan adalah salah satu daripada lima pasukan yang mengumpul tujuh mata. Antara pasukan yang berkongsi kedudukan ini membabitkan pasukan China, Shandong Taishan, yang menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Malaysia 1-0 di laman sendiri.

sumber:-HM

Kawasaki Frontale dari Jepun berada di tangga ketiga, terikat dengan Gwangju dari Korea Selatan di tempat kedua, selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Buriram United dari Thailand.