PENYERANG wanita Santos FC, Ketlen Wiggers mencipta sejarah tersendiri apabila terus menjalani latihan bersama pasukan walaupun sedang hamil.
Selain bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad wanita Santos, Ketlen turut dianggap ikon utama kelab berkenaan dan antara tokoh penting dalam perkembangan bola sepak wanita Brazil.
Pencapaiannya kali ini turut melakar sejarah baharu apabila menjadi pemain pertama di Brazil yang masih kekal berlatih bersama pasukan sehingga bulan kelapan kehamilan.
Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu kini mengambil keputusan untuk berehat seketika bagi mempersiapkan diri menyambut kelahiran anaknya, Lucca selepas menamatkan sesi latihan terakhirnya pada Khamis lalu.
Jurulatih kecergasan Santos, Isabella Silva Matos berkata, pihaknya melakukan pelbagai penyesuaian dalam rutin latihan bagi memastikan Ketlen kekal aktif dan selamat sepanjang tempoh kehamilan.
“Sejak awal kehamilan, Ketlen masih menyertai sesi pemanasan badan bersama rakan sepasukan termasuk latihan kekuatan kaki dan koordinasi, namun tanpa sebarang pertembungan fizikal.
“Untuk latihan utama seperti hantaran dan penyudah, kami mereka bentuk program khas dan dia hanya melakukan hantaran, lintasan serta penyudah secara individu,” katanya.
Sebagai rekod, pada tahun 2021, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan peraturan baharu bagi melindungi kebajikan pemain wanita hamil termasuk pemberian cuti bersalin wajib kepada atlet profesional.
Santos menjadi antara kelab terawal di Brazil yang melaksanakan garis panduan tersebut.
Ketlen turut menzahirkan penghargaan kepada rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan penyokong atas sokongan yang diterimanya sepanjang tempoh kehamilan.
“Layanan yang saya dan Lucca terima sepanjang latihan amat luar biasa. Saya sangat bersyukur dengan kasih sayang serta sokongan yang diberikan oleh semua pihak di kelab ini. Ia menutup satu fasa indah dalam hidup saya dengan penuh makna,” ujarnya.
Ketlen dijangka melahirkan anaknya pada penghujung November ini dan berhasrat untuk kembali memperkuatkan Santos pada pra-musim 2026, awal tahun depan.